ASIA
2 min membaca
Malaysia usaha mudahkan urusan sijil kematian bagi 54 rakyat hilang di Nepal
Menurut Mohamad Hasan, kesemua 54 individu berkenaan masih dikategorikan sebagai belum dapat dikesan atau hilang.
Malaysia usaha mudahkan urusan sijil kematian bagi 54 rakyat hilang di Nepal
Mohamad Hasan berkata Malaysia terus berhubung dengan polis Nepal bagi menyemak rekod pendaftaran pendaki di setiap pos. / Foto: BKK Parlimen Malaysia

Malaysia sedang memudah cara urusan waris 54 rakyatnya yang masih hilang susulan banjir di Nepal pada 26 Ogos, termasuk urusan pengeluaran sijil kematian dengan kementerian berkaitan di negara itu, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Beliau berkata Wisma Putra sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Kesemua 54 individu berkenaan masih dikategorikan sebagai belum dapat dikesan atau hilang.

“Kerajaan Nepal telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat dan beralih ke fasa pemulihan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin di Dewan Rakyat hari ini.

Namun, Malaysia masih berhubung dengan polis tempatan untuk menyemak rekod pendaftaran pendaki di setiap pos bagi menjejaki pergerakan mereka.

“Kita mahu menjejaki pergerakan itu berdasarkan rekod berkenaan, tetapi ia memerlukan masa. Kerjasama yang kita terima daripada Kerajaan Nepal amat baik dan kita berharap sesuatu yang ajaib dapat berlaku,” kata Mohamad.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan belum bercadang mewajibkan rakyat Malaysia di luar negara mendaftar melalui e-Konsular.

Bagaimanapun, mereka yang melancong, menetap atau belajar di luar negara disaran menggunakan platform itu bagi memudahkan kedutaan dan pejabat perwakilan menghubungi mereka apabila diperlukan.

Mohamad turut menjelaskan bahawa aplikasi keselamatan MyWorldAlert yang digabungkan dengan e-Konsular berfungsi sebagai sistem komunikasi pantas berasaskan GPS untuk menyampaikan maklumat dan amaran penting ketika kecemasan.

SUMBER:TRT Global