ASIA
2 min membaca
Saham Asia meningkat, harga minyak kekal kukuh ketika dunia nantikan perkembangan rundingan Iran
Sentimen pasaran kekal berhati-hati ketika rundingan masih berjalan untuk menamatkan konflik yang telah berlarutan selama tiga bulan itu.
Saham Asia meningkat, harga minyak kekal kukuh ketika dunia nantikan perkembangan rundingan Iran
Pasaran saham di rantau Asia mencatatkan peningkatan manakala harga minyak mentah kekal tinggi. (FAIL) / AP Archive

Pasaran saham di rantau Asia mencatatkan peningkatan manakala harga minyak mentah kekal tinggi pada Rabu, ketika para pelabur menanti petunjuk baharu sama ada gencatan senjata yang rapuh antara Amerika Syarikat dan Iran akan dilanjutkan.

Minyak mentah Brent didagangkan hampir AS$100 setong, manakala mata wang dolar AS mengekalkan kekuatannya selepas Iran mendakwa AS telah melanggar perjanjian gencatan senjata.

Di Jepun, indeks Nikkei melonjak ke paras rekod tertinggi, menjejaki prestasi luar biasa di Wall Street yang didorong oleh keyakinan terhadap sektor kecerdasan buatan (AI).

"Pasaran kini hanya menunggu sesuatu yang konkrit berkaitan perjanjian antara AS dan Iran. Banyak berita baik telah diambil kira dalam harga pasaran, sekali gus membuka ruang kepada kekecewaan jika tiada pengumuman menyeluruh dibuat," kata Kyle Rodda, penganalisis pasaran kewangan kanan di Capital.com.

Sentimen pasaran bagaimanapun kekal berhati-hati ketika rundingan masih berjalan untuk menamatkan konflik yang telah berlarutan selama tiga bulan dan menggangu pasaran tenaga global.

Selain itu, kenyataan pegawai-pegawai bank pusat turut menjadi tumpuan bagi menilai impak krisis tersebut terhadap kadar inflasi dan kos pinjaman.

"Serangan AS di wilayah Hormozgan di selatan Iran merupakan satu pelanggaran terhadap gencatan senjata," jelas Kementerian Luar Iran, manakala pihak AS mempertahankan tindakan ketenteraan tersebut sebagai langkah mempertahankan diri.

Di sebalik ketegangan itu, Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata perjanjian dengan Tehran untuk menghentikan konflik mungkin "mengambil masa beberapa hari."

Sementara itu, agensi berita Tasnim melaporkan bahawa Iran kini sedang menuntut pelepasan dana miliknya berjumlah AS$24 bilion yang dibekukan di luar negara.

SUMBER:Reuters