DUNIA
2 min membaca
Malaysia tuntut RM1 bilion daripada syarikat Norway susulan pembatalan perjanjian peluru berpandu
Sebelum pembatalan dibuat, Malaysia dilaporkan telah pun melunaskan bayaran sebanyak €126 juta (RM583 juta), iaitu menyamai 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak.
Malaysia tuntut RM1 bilion daripada syarikat Norway susulan pembatalan perjanjian peluru berpandu
Menurut Khaled, tuntutan tersebut merangkumi kos langsung dan tidak langsung berikutan keputusan Norway membatalkan lesen berkenaan. (FAIL) / Reuters

Malaysia telah mengemukakan notis tuntutan terhadap sebuah syarikat pertahanan Norway susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu bagi kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dengan anggaran kerugian mencecah lebih RM1 bilion, lapor New Straits Times.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata, tuntutan tersebut merangkumi kos langsung dan tidak langsung berikutan keputusan Norway membatalkan lesen berkenaan.

Sebelum pembatalan dibuat, Malaysia dilaporkan telah pun melunaskan bayaran sebanyak €126 juta (RM583 juta), iaitu menyamai 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak.

"Semalam, kami telah menghantar notis kepada syarikat Norway itu. Kami menuntut kos langsung dan tidak langsung. Kos langsung berjumlah €126 juta, iaitu jumlah yang telah kami bayar kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat projek LCS di Galangan Kapal TLDM Lumut, hari ini.

Mohaled Khaled menyifatkan tindakan Norway itu sebagai satu pelanggaran amanah yang serius dalam komitmen antarabangsa, memandangkan Malaysia telah memenuhi semua kewajipan kontrak tanpa sebarang rundingan awal sebelum lesen tersebut ditarik balik atas alasan dasar baharu negara berkenaan.

"Mereka enggan mengeluarkan lesen eksport bersandarkan dasar baharu negara mereka yang mengehadkan eksport teknologi pertahanan sensitif hanya kepada sekutu dan rakan strategik terdekat sahaja. Bayangkan jika Malaysia yang melanggar komitmen sebegini, saya percaya seluruh dunia akan mengecam kita. Tetapi apabila Norway melakukannya, tiada siapa yang bersuara," tegas beliau.

Beliau menambah, tindakan unilateral ini menjejaskan kepercayaan dalam hubungan antarabangsa, khususnya dengan negara-negara Barat dan NATO, serta menggesa negara-negara ASEAN untuk mengambil iktibar daripada pengalaman Malaysia ini.

"Tuntutan melebihi RM1 bilion ini turut melibatkan kos tidak langsung seperti membuka semula sistem pelancar peluru berpandu yang telah siap dipasang pada kapal LCS. Jika kita peroleh peluru berpandu dari negara lain, sistem pelekapnya mungkin berbeza, termasuk keperluan kos latihan dan integrasi sistem baharu bagi memastikan ia berfungsi dengan berkesan," ujarnya lagi.