ASIA
2 min membaca
Zeti: Malaysia perlu tangkas mendepani kejutan global, nilai semula dasar tidak fleksibel
Mengimbas kembali Krisis Kewangan Asia hampir tiga dekad lalu, beliau mengingatkan bahawa Malaysia dan ekonomi serantau mampu bangkit dengan ampuh kerana adanya fleksibiliti dalam pengurusan ekonomi serta sokongan institusi yang kukuh.
Zeti: Malaysia perlu tangkas mendepani kejutan global, nilai semula dasar tidak fleksibel
Menurut Zeti, cabaran hari ini memerlukan pelarasan yang jauh lebih pantas ekoran kepesatan perubahan global. (FAIL) / Reuters

Malaysia digesa untuk bertindak lebih pantas terhadap gangguan global dan mengelakkan kerangka dasar yang tidak fleksibel dan kaku, susulan ketidaktentuan ekonomi dunia yang semakin meruncing.

Kenyataan tersebut ditegaskan oleh mantan Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz semasa berucap di Forum Perniagaan FLUX 2026, menurut laporan New Straits Times.

Menurut Zeti, dunia hari ini terus dicorakkan oleh konflik geopolitik yang berlarutan, peralihan dasar ekonomi utama, kebangkitan nasionalisme, serta gangguan rantaian bekalan yang berterusan.

Beliau menyifatkan kemelut ini sebagai "normal baharu" yang menuntut setiap ekonomi untuk belajar beroperasi dalam situasi yang serba tidak menentu.

Mengimbas kembali Krisis Kewangan Asia hampir tiga dekad lalu, beliau menarik perhatian bahawa Malaysia dan ekonomi serantau mampu bangkit dengan ampuh kerana adanya fleksibiliti dalam pengurusan ekonomi serta sokongan institusi yang kukuh.

Bagaimanapun, cabaran hari ini memerlukan pelarasan yang jauh lebih pantas ekoran kepesatan perubahan global.

"Sistem tadbir urus sedia ada perlu disemak semula untuk mencerminkan realiti baharu dalam persekitaran ini. Matlamat kita bukan sahaja untuk keluar daripada gangguan ekonomi dengan kos paling minimum, tetapi juga beralih ke persekitaran baharu yang berubah pantas dengan keupayaan menyesuaikan diri serta fleksibiliti demi menjamin prestasi mampan," jelas beliau.

Zeti menambah, keanjalan ekonomi turut melibatkan usaha membenarkan modal dan tenaga kerja bergerak secara dinamik ke sektor berbeza mengikut acuan perubahan semasa.

Sehubungan itu, dunia perniagaan dituntut untuk meningkatkan kecekapan, memanfaatkan data dalam membuat keputusan, serta meneruskan penggunaan teknologi digital dan inovasi untuk kekal berdaya saing.

Di akhir ucapannya, beliau menekankan bahawa sektor pendidikan dan pembangunan bakat merupakan tonggak utama dalam memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Beliau menyifatkan pelaburan dalam modal insan ini sebagai pemacu paling kritikal bagi menjamin potensi masa depan negara di pentas global.