Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas flotila kemanusiaan Gaza dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan tegas, Anwar menyelar tindakan rejim Zionis itu yang turut menahan 16 aktivis dari Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
“Rejim biadab Zionis Israel telah bertindak memintas flotila kemanusiaan Gaza dan telah pun menahan lebih 100 orang aktivis termasuk 16 aktivis dari Malaysia yang terlibat dalam misi aman membela kemanusiaan sejagat,” kata Anwar.
Beliau menyifatkan tindakan Israel sebagai mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, selain menyekat suara kemanusiaan dan usaha menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang menderita di tangan rejim ganas itu.
“Tindakan kurang ajar rejim jahat ini terhadap terhadap misi bantuan kemanusiaan ini bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah memperlihatkan kerakusan rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan, menyekat suara kemanusiaan dan menindas sesiapa sahaja yang bangkit mempertahan dan membela rakyat Palestin,” tambahnya.
Anwar turut menyeru dunia untuk bersuara dan mengheret Israel ke muka pengadilan.
“Dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan. Penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera, dan Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban,” kata Anwar.













