Menerusi satu langkah unik bagi melonjakkan pendapatan pelancongan domestiknya, Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) kini mempergiat kempen bagi merancakkan perjalanan pada hari bekerja, menurut laporan The Nation.
Langkah itu dilaksanakan dengan menawarkan produk serta perkhidmatan pelancongan bernilai tinggi daripada pengusaha tempatan merangkumi sektor hotel, restoran, spa dan aktiviti rekreasi.
Inisiatif ini bertujuan untuk menghidupkan semula suasana pelancongan yang lebih dinamik, selain membantu pengusaha industri menjana pendapatan dan menarik lebih ramai pelancong berkualiti.
Usaha tersebut digerakkan menerusi projek 'Workation Paradise Throughout Thailand' yang kini memasuki musim ke-4 di bawah payung kempen utama, Workation Thailand.
Langkah tersebut diambil susulan sambutan luar biasa yang diterima daripada pengembara di seluruh Thailand menerusi aktiviti ‘100 travel-and-work’ sebelum ini.
Trend ini jelas mencerminkan populariti gaya hidup workation, yang berjaya memenuhi permintaan masyarakat moden untuk bercuti sambil bekerja secara fleksibel.
"Aktiviti ini dianggap sebagai salah satu strategi utama yang dianjurkan oleh TAT untuk merangsang trend pelancongan domestik," menurut kenyataan agensi tersebut, yang menyifatkan pendekatan ini mampu memberi nafas baharu kepada ekonomi setempat.
Bagi fasa seterusnya, pusingan kedua aktiviti ‘100 travel-and-work’ dijadualkan bermula pada jam 10 pagi, Isnin (25 Mei 2026) menerusi platform rasmi mereka.
Pelbagai produk pelancongan daripada jenama-jenama terkemuka di Thailand akan ditawarkan bagi memberi lebih banyak pilihan buat para pelancong.
Melalui tawaran insentif, keistimewaan eksklusif dan potongan harga istimewa daripada pelbagai premis di seluruh Thailand ini, TAT berharap ia dapat mendorong orang ramai untuk melancong dengan lebih mudah, jimat dan berbaloi.


















