Malaysia melakar pencapaian membanggakan apabila diiktiraf sebagai antara negara paling dipercayai di dunia tahun ini, dengan menduduki tangga ketujuh global dalam laporan Edelman Trust Barometer 2026.
Kajian tahunan itu mendedahkan Indeks Kepercayaan keseluruhan Malaysia melonjak kepada 71 mata berbanding 66 mata pada tahun lalu, merangkumi kepercayaan awam terhadap sektor perniagaan, kerajaan, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bagaimanapun, laporan itu memberi amaran bahawa sebahagian besar kepercayaan rakyat Malaysia masih terkurung dalam lingkungan sosial, politik dan budaya yang biasa sahaja.
Purata 65 peratus rakyat didapati mempunyai "minda kepercayaan terkepung" (insular trust mindset), iaitu keberatan untuk mempercayai individu yang berbeza nilai, latar belakang budaya, mahupun sumber maklumat dengan mereka.
Malah, situasi ini diburukkan lagi apabila 87 peratus responden tempatan percaya bahawa jurang perbezaan pandangan telah menjadi sangat parah sehingga ada pihak cuba menjejaskan kehidupan satu sama lain.
Angka tersebut merupakan yang tertinggi dicatatkan dalam kalangan 28 pasaran yang ditinjau di seluruh dunia, manakala hanya 37 peratus sahaja yang aktif mencari maklumat daripada sumber politik berbeza setiap minggu.
"Malaysia telah memperoleh tempatnya sebagai antara negara paling dipercayai di dunia. Itu adalah pencapaian tulen yang penting untuk keyakinan pelaburan dan kredibiliti institusi.
“Namun, data ini menunjukkan cabaran yang lebih getir. Kepercayaan yang dibina sebahagian besarnya hanya dalam lingkungan yang biasa, antara mereka yang berkongsi nilai dan komuniti yang sama. Malaysia tidak boleh mengekalkan kelebihan ini jika garis pemisah tersebut semakin mendalam," kata Ketua Pegawai Eksekutif Edelman Malaysia, Mazuin Zin.
Kajian itu turut mendedahkan kebimbangan global berhubung isu ekonomi, di mana 67 peratus pekerja bimbang akan kehilangan pekerjaan akibat ancaman kemelesetan, manakala 66 peratus lagi gusar terhadap kesan konflik perdagangan antarabangsa.
Di Malaysia, keyakinan terhadap masa depan juga menyusut apabila hanya 39 peratus percaya generasi akan datang bakal menikmati kehidupan lebih baik, iaitu penurunan sebanyak tujuh mata berbanding tahun lepas.
Selain jurang kepercayaan berasaskan pendapatan yang mencecah sembilan mata di Malaysia, isu maklumat palsu turut menjadi perhatian utama.
Sebanyak 73 peratus responden tempatan melahirkan kebimbangan terhadap tindakan "aktor asing" yang sengaja menyebarkan maklumat palsu melalui media untuk mencetuskan perpecahan domestik, meletakkan Malaysia di kedudukan kedua tertinggi di dunia dalam aspek kegusaran tersebut selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE).














