PERANG GAZA
2 min membaca
Misi kemanusiaan Gaza: Malaysia desak Israel segera bebaskan aktivis GSF
Menteri Luar Mohamad Hasan menegaskan tindakan menahan para peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 tersebut merupakan satu pelanggaran nyata terhadap hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.
Misi kemanusiaan Gaza: Malaysia desak Israel segera bebaskan aktivis GSF
(FOTO FAIL) Setakat ini, seramai 29 warga Malaysia dilaporkan telah ditahan oleh pihak Israel. / Other

Kementerian Luar Malaysia menuntut rejim Zionis Israel supaya segera membebaskan semua warga tempatan yang ditahan di perairan antarabangsa di luar pantai Cyprus ketika dalam misi kemanusiaan secara aman ke Gaza, menurut laporan BERNAMA.

Menteri Luar Mohamad Hasan menegaskan tindakan menahan para peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 tersebut merupakan satu pelanggaran nyata terhadap hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

Setakat ini, seramai 29 warga Malaysia dilaporkan telah ditahan oleh pihak Israel.

"Kita mendesak pihak rejim Zionis Israel memberi layanan yang sempurna kepada mereka serta membebaskan mereka segera kerana ini bertentangan dengan hak asasi dan undang-undang antarabangsa.

"Mereka tidak mencerobohi perairan Israel, sebaliknya jauh di luar. Namun, mereka dipintas dan ramai rakyat negara lain turut ditahan oleh rejim Zionis Israel," katanya dalam sidang media di Pangkalan Udara TUDM Subang, pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad turut menzahirkan penghargaan mendalam kepada kerajaan Türkiye dan Menteri Luarnya, Hakan Fidan, atas bantuan menyelamat serta membawa pulang 10 lagi rakyat Malaysia yang ditahan dalam insiden berasingan sebelum ini.

Beliau menjelaskan, kumpulan tersebut sebelum ini ditahan pihak berkuasa Greece selepas kapal mereka karam akibat terlanggar batu karang.

Bagaimanapun, mahkamah telah membebaskan kapten serta penolong kapten kapal tersebut, dan kesemua mereka kini telah selamat kembali ke Istanbul.

Terdahulu, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan kapal yang dinaiki aktivis Malaysia itu telah dipintas pihak Israel sejak Isnin.

Dianggarkan sebanyak 40 buah kapal flotila yang membawa hampir 350 aktivis antarabangsa dilaporkan telah dipintas oleh rejim Zionis.