Malaysia memperkukuh pengawasan maritim, kerjasama serantau dan kesiapsiagaan pertahanan bagi memastikan Selat Melaka kekal selamat serta terbuka di tengah cabaran keselamatan global yang semakin kompleks.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, laluan itu amat strategik bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga ASEAN dan perdagangan antarabangsa.
Beliau menjelaskan, Angkatan Tentera Malaysia melalui Tentera Laut dan Tentera Udara melaksanakan rondaan, pengawasan serta operasi kesiapsiagaan secara berterusan bagi melindungi laluan perairan penting tersebut.
“TLDM turut melaksanakan operasi berterusan bagi melindungi laluan komunikasi maritim dengan sokongan TUDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi berkaitan lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Di peringkat serantau, Adly berkata Malaysia terus memperkukuh inisiatif Rondaan Selat Melaka dengan kerjasama Indonesia, Singapura dan Thailand, yang merangkumi Rondaan Laut Selat Melaka, program pengawasan udara Eyes in the Sky dan kumpulan perkongsian risikan bagi meningkatkan keberkesanan rondaan, perkongsian maklumat dan kesedaran domain maritim.
Usaha itu, katanya, diselaraskan yang melibatkan kementerian dan agensi keselamatan berkaitan.
Ini termasuk Jawatankuasa Tindakan Operasi Maritim yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara dan dianggotai wakil kementerian, Angkatan Tentera dan agensi penguatkuasaan berkaitan, selain latihan, eksesais dan penilaian risiko yang dijalankan oleh Angkatan Tentera bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang gangguan.
Adly menambah, kementerian sentiasa memantau perkembangan keselamatan di sepanjang laluan maritim strategik di seluruh dunia, termasuk Selat Hormuz.
Katanya, Malaysia mempunyai asas kukuh untuk menjaga keselamatan serta kedaulatan negara melalui Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan jangkaan cabaran di peringkat serantau dan global serta disemak setiap lima tahun, dengan semakan terbaharu dilakukan tahun lepas termasuk aspek pertahanan siber yang kini diberi penekanan.





















