DUNIA
2 min membaca
AS pertimbang jual sistem peluru berpandu kepada Malaysia
Terdahulu, rundingan asal perolehan NSM bernilai €124 juta (RM571.9 juta) telah dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan firma Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) pada April 2018.
AS pertimbang jual sistem peluru berpandu kepada Malaysia
Pete Hegseth semasa menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Dialog Shangri-La (SLD) Ke-23 di Singapura. / AFP

Amerika Syarikat memberi jaminan akan mempertimbangkan penjualan sistem peluru berpandu kepada Malaysia bagi menyelesaikan kemelut perolehan aset pertahanan negara ekoran tindakan drastik Norway membatalkan kontrak eksport persenjataan berkenaan, lapor BERNAMA.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth.

Pertemuan itu berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak Keselamatan Dialog Shangri-La (SLD) Ke-23 di Singapura.

Malaysia mengambil peluang tersebut untuk memperincikan isu pembatalan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM) oleh kerajaan Norway atas alasan keselamatan domestik mereka, selain mendapatkan pandangan strategik daripada pihak Pentagon.

"Kita telah meminta pandangan daripada AS untuk membantu mencari jalan penyelesaian kepada isu yang dihadapi memandangkan umum mengetahui terdapat syarikat AS yang turut mengeluarkan peluru berpandu yang sama seperti Norway. Kita bertanyakan sama ada AS bersedia membenarkan penjualan peluru berpandu tersebut kepada kita," ujar beliau kepada BERNAMA.

Terdahulu, rundingan asal perolehan NSM bernilai €124 juta (RM571.9 juta) telah dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan firma Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) pada April 2018.

Senjata pemusnah kapal itu sepatutnya digunakan untuk melengkapkan sistem persenjataan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) baharu milik negara sebelum sekatan unilateral tersebut dikuatkuasakan.

Selain isu peluru berpandu, Mohamed Khaled berkata AS turut menawarkan perkongsian maklumat berkaitan sistem Kesedaran Domain Maritim (MDA) yang dikendalikan oleh Malaysia.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, bagi memperkukuh kerjasama ketenteraan termasuk penubuhan Jawatankuasa Perancangan Bersama.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Australia atas pelaksanaan Strategi Pertahanan Negara 2026 (NDS 2026) dan Program Pelaburan Bersepadu 2026 (IIP 2026) sebagai langkah penting dalam memperkukuh keupayaan serta kesiapsiagaan pertahanan mereka," kata beliau.

Malaysia juga dilaporkan sedang merangka memorandum rasmi bersama Kanada bagi menstrukturkan hubungan pertahanan kedua-dua negara yang selama ini berjalan tanpa perjanjian bertulis.