Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Muhammad Hareez Adzrami, atau lebih dikenali sebagai Haroqs, telah menerima ugutan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan proksi rejim Zionis Israel.
Ketua Pengarah SNCC Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan beberapa langkah keselamatan ketat telah diambil serta-merta bagi melindungi keselamatan aktivis berusia 26 tahun itu serta ibunya yang berada di tanah air.
“Salah seorang peserta kita, iaitu saudara Hareez atau Haroqs, telah diugut dalam media sosial yang diyakini adalah proksi kepada pihak penjajah Israel dan kita telah memaklumkan perkara ini kepada pihak kerajaan kerana ia bukan hanya melibatkan keselamatan beliau di sana, tetapi juga keselamatan ibunya di sini” katanya pada sidang media perkembangan terkini misi GSF 2.0, semalam.
Menurut Sani Araby, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa keselamatan Haroqs dan ahli keluarganya akan terus dipelihara, termasuk memohon bantuan daripada pihak berkuasa Türkiye yang mempunyai keupayaan risikan tinggi untuk memantau keselamatan aktivis itu sepanjang berada di Istanbul.
Isu ancaman ini mula mendapat perhatian selepas akaun laman sosial X yang dikenali sebagai Mossad Commentary memuat naik foto serta video Haroqs dengan kapsyen sinis berbaur amaran, yang kemudiannya tular dan mencetuskan kebimbangan serta reaksi kecaman dalam kalangan warganet Malaysia.
Insiden itu berlaku di tengah-tengah proses pembebasan kesemua 428 aktivis kemanusiaan GSF 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel di perairan antarabangsa baru-baru ini.
Kesemua delegasi negara yang kini berada di Türkiye dijadualkan pulang ke tanah air pada Ahad ini.

















