Kerajaan Malaysia sedang melipatgandakan usaha bagi memastikan kelangsungan dan keterjaminan bekalan tenaga negara dapat dilanjutkan sehingga Disember depan, ekoran krisis global yang dicetuskan oleh konflik berterusan di Asia Barat, lapor Berita Harian.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof memaklumkan buat masa ini, simpanan bekalan tenaga negara dijangka hanya mencukupi sehingga Julai ini.
Susulan itu, langkah proaktif termasuk meneroka pasaran luar negara sedang giat dijalankan bagi menampung keperluan domestik.
"Kita mahu mengurangkan penggunaan dan menjimatkan sebenarnya penggunaan tenaga, supaya kita dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak serta gas kita. PETRONAS sedang bertungkus lumus mendapatkan sumber bekalan, malah terpaksa pergi ke Afrika. Insya-Allah kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember depan," katanya.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), menjelaskan bahawa pergolakan geopolitik global ini telah memberi impak rantaian yang signifikan terhadap keseluruhan sektor ekonomi, khususnya melibatkan kos subsidi tinggi yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan.
Beliau menambah, kesan rantaian fasa kedua dan ketiga akan mula dirasai oleh sektor pembuatan dan perubatan akibat kekurangan bahan mentah seperti plastik untuk pembungkusan.
Bagi meminimumkan impak tersebut, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) kini mengadakan mesyuarat mingguan bagi memantau impak krisis dan merangka pelan bantuan pasaran, khususnya buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Kenyataan tersebut diulas beliau selepas menyempurnakan pelancaran inisiatif Rebat Solar dan Bantuan Insentif Kelestarian (SuRIA) Home sempena Majlis Perhimpunan Bulanan PETRA di Putrajaya, hari ini.
Beliau turut menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk memainkan peranan dalam menjimatkan penggunaan tenaga harian demi kelangsungan ekonomi negara.
















