Pengoperasian Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA-S oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menandakan satu lonjakan strategik yang signifikan dalam memperkukuh pertahanan dan pengawasan maritim negara, lapor New Straits Times.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin menegaskan aset canggih buatan Türkiye itu mampu memberikan liputan operasi yang sangat kritikal, terutamanya di kawasan zon ekonomi eksklusif (ZEE) yang strategik.
Menurut beliau, kehadiran ANKA-S di Pangkalan Udara Labuan akan memberikan kelebihan maklumat yang amat diperlukan oleh Malaysia dalam memelihara kedaulatan di kawasan perairan yang sering menjadi tumpuan dunia, termasuk Laut China Selatan.
Langkah ini membuktikan komitmen berterusan Putrajaya dalam memodenkan keupayaan angkatan tenteranya demi mendepani cabaran geopolitik semasa.
"Ia menyediakan liputan operasi yang tidak pernah wujud sebelum ini di kawasan maritim yang paling dipertikaikan di dunia. Memberi Malaysia kelebihan maklumat… apa yang kita dapat daripada ini, kelebihan maklumat yang kritikal yang boleh bantu kita dalam menggubal dasar-dasar keselamatan negara," kata Mohamed Khaled kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis peluncuran tersebut di Labuan pada Selasa.
Menerusi perolehan fasa pertama ini, Malaysia memiliki tiga buah pesawat ANKA-S bernilai RM423.8 juta, pakej yang turut merangkumi stesen kawalan darat serta latihan komprehensif kepada anggota TUDM selama dua tahun.
Kerajaan juga dilaporkan mempunyai perancangan untuk menambah tiga lagi unit pesawat yang sama di bawah pelan perolehan fasa kedua akan datang.
Menyentuh mengenai spesifikasi teknikal, ANKA-S berupaya terbang melebihi 24 jam tanpa henti pada ketinggian operasi mencapai 30,000 kaki.
Keupayaan radar dan pengesan elektro-optik yang ada padanya membolehkan aset itu mengecam serta menjejak profil kapal secara tepat, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada rondaan fizikal yang menelan kos tinggi.
"Pendek kata, dengan adanya ANKA-S ini kita dapat mengekalkan mata dan telinga negara kerana mampu untuk lakukan operasi secara berterusan. Ia dapat merancang dan mengatur gerak aset dengan lebih efisien, tepat ke lokasi pencerobohan tanpa perlu melakukan rondaan yang tidak bersasar," tambahnya, sambil menjelaskan pesawat tersebut sengaja tidak dilengkapi dengan senjata bagi mencerminkan postur pertahanan Malaysia yang bersifat defensif.
















