ASIA
2 min membaca
Pelaksanaan biodiesel B15 secara berperingkat lindungi rantaian bekalan bahan api
B15 merujuk kepada adunan 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dengan 85 peratus diesel petroleum, berbanding kadar B10 yang diguna pakai ketika ini.
Pelaksanaan biodiesel B15 secara berperingkat lindungi rantaian bekalan bahan api
Langkah jangka sederhana ini adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu. (FAIL) / Reuters
5 jam yang lepas

Kerajaan akan melaksanakan kadar campuran biodiesel B15 secara berperingkat bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap operasi industri sedia ada, menurut laporan BERNAMA.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan pendekatan progresif itu penting untuk memastikan aspek pengoperasian di pusat-pusat adunan dapat disusun dengan teliti tanpa menjejaskan rantaian bekalan semasa.

Beliau menjelaskan bahawa sekiranya penyusunan operasi di pusat adunan tidak melibatkan peningkatan infrastruktur, kadar campuran boleh dinaikkan daripada B10 kepada B15 dengan segera namun tetap secara berfasa.

B15 merujuk kepada adunan 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dengan 85 peratus diesel petroleum, berbanding kadar B10 yang diguna pakai ketika ini.

Walau bagaimanapun, Akmal Nasrullah memaklumkan bahawa sasaran untuk mencapai tahap campuran yang lebih tinggi seperti B20 dan B30 memerlukan pelaburan serta naik taraf infrastruktur yang lebih besar.

Langkah jangka sederhana ini adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu dan menstruktur semula ekonomi negara.

"Sekiranya kita mahu mencapai tahap B20 dan B30 yang lebih tinggi, pelaburan dalam infrastruktur perlu dibuat, khususnya menaik taraf infrastruktur sedia ada. Jadi untuk sasaran jangka sederhana, memang ada keperluan bagi kita menaik taraf infrastruktur tersebut," katanya kepada pemberita selepas melawat projek IPR-INTAN pada Jumaat.

Langkah meningkatkan kadar campuran biodiesel ini bertujuan untuk memastikan ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh yang lebih lama.

Selain itu, ia juga berfungsi mengurangkan kebergantungan Malaysia ke atas import bahan api fosil serta melindungi ekonomi domestik daripada ketidaktentuan harga pasaran global akibat krisis di Timur Tengah.

Bagi meninjau kesediaan industri, beliau bersama Menteri Perladangan dan Komoditi Noraini Ahmad dijadual melawat fasiliti KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd (KLKOM) di Pelabuhan Klang pada Sabtu.

Lawatan tersebut bertujuan untuk menilai kapasiti pengeluaran syarikat oleokimia berkenaan dalam menyokong aspirasi biodiesel negara.