ASIA
2 min membaca
Singapura-Kemboja jalin kerjasama perdagangan beras, perkukuh keselamatan makanan
Perjanjian ini merupakan kerjasama perdagangan beras ketiga yang dijalin Singapura dalam tempoh beberapa bulan, selepas menandatangani memorandum bersama Vietnam dan Thailand pada hujung 2025.
Singapura-Kemboja jalin kerjasama perdagangan beras, perkukuh keselamatan makanan
Singapura dan Kemboja menjalin kerjasama perdagangan beras bagi memperkukuh keselamatan makanan. (FAIL) / Reuters
10 jam yang lepas

Singapura dan Kemboja secara rasmi menandatangani memorandum kerjasama bagi memperkukuh keselamatan makanan dan perdagangan beras dua hala, menurut laporan The Straits Times.

Perjanjian yang dimeterai pada 10 April itu bertujuan mengelakkan sekatan perdagangan yang tidak perlu antara kedua-dua negara, sekali gus menjamin kestabilan bekalan ruji berkenaan.

Kementerian Kemampanan dan Alam Sekitar (MSE) Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan Kemboja akan menyokong penjualan beras berdasarkan terma yang dipersetujui bersama sekiranya terdapat permintaan daripada pihak Singapura.

Perjanjian ini merupakan kerjasama perdagangan beras ketiga yang dijalin Singapura dalam tempoh beberapa bulan, selepas menandatangani memorandum bersama Vietnam dan Thailand pada hujung 2025.

Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura, Grace Fu, menegaskan bahawa ketegangan geopolitik semasa meningkatkan risiko gangguan bekalan makanan global.

Beliau menyifatkan kerjasama ini sebagai situasi 'menang-menang' yang mengukuhkan hubungan erat kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran ekonomi dunia yang semakin tidak menentu.

Langkah strategik ini hadir selepas Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, K. Shanmugam, mengingatkan Parlimen supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan ketiadaan bekalan makanan tertentu dari beberapa buah negara.

Rakyat Singapura turut dinasihatkan agar fleksibel dalam memilih alternatif makanan serta bersedia mendepani kenaikan harga barangan dan kos elektrik berikutan konflik di Asia Barat.

Sebagai negara yang mengimport lebih 90 peratus bekalan makanannya, Singapura giat menjalin kerjasama dengan pelbagai ekonomi serantau sejak 2025 bagi memastikan tiada sekatan perdagangan dikenakan terhadap barangan keperluan.

Selain Kemboja, Singapura telah memeterai perjanjian barangan makanan penting dengan New Zealand dan kini sedang meneroka zon makanan teknologi pertanian bersama Brunei.

MSE menegaskan bahawa Singapura akan terus mencari peluang kerjasama dengan ekonomi yang mempunyai matlamat serupa demi memastikan daya tahan bekalan makanan negara.