PERANG GAZA
2 min membaca
GSF 2.0 diiktiraf misi nasional: Rakyat Malaysia galas peranan penting
Pengiktirafan rasmi itu mencerminkan komitmen teguh Kuala Lumpur dalam usaha menghentikan genosid di Gaza, sekali gus membawa mandat besar yang disokong oleh seluruh Ahli Parlimen Malaysia demi keadilan sejagat.
GSF 2.0 diiktiraf misi nasional: Rakyat Malaysia galas peranan penting
Malaysia melakar sejarah sebagai negara pertama yang mengiktiraf misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 sebagai misi nasional. / AA
10 jam yang lepas

Malaysia melakar sejarah sebagai negara pertama yang mengiktiraf misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 sebagai misi nasional, menurut laporan BERNAMA.

Pengiktirafan rasmi itu mencerminkan komitmen teguh Kuala Lumpur dalam usaha menghentikan genosid di Gaza, sekali gus membawa mandat besar yang disokong oleh seluruh Ahli Parlimen Malaysia demi keadilan sejagat.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang juga ketua misi tersebut berkata penglibatan Malaysia melangkaui batas agama dan bangsa.

Beliau menegaskan kehadiran delegasi negara adalah berasaskan prinsip kemanusiaan universal, terutama memandangkan situasi di Gaza yang semakin meruncing dengan 70,000 orang maut, selain penghantaran bekalan asas masih lagi disekat.

"Malaysia bangga menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi ini sebagai inisiatif nasional. Penyertaan dalam GSF 2.0 dan misi Sumud Nusantara ini menghantar mesej jelas bahawa pembantaian di Gaza mesti dihentikan segera," ujar beliau.

Sementara itu, Chef de Mission Sumud Nusantara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mendedahkan bahawa lebih 40 peserta Malaysia kini mengisi kekosongan kritikal bagi memastikan armada antarabangsa itu dapat belayar.

Pakar-pakar dari Malaysia, katanya, bukan sekadar menjadi peserta, malah menggalas tanggungjawab sebagai kapten kapal, kru, pakar enjin, serta pasukan perubatan yang menjadi nadi penggerak misi.

Nadir menjelaskan penglibatan pakar teknikal negara telah mengisi jurang di peringkat global yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

GSF 2.0 merupakan fasa kedua selepas kejayaan penghantaran 30 kontena bantuan seberat 274 tan melalui lintasan Rafah sebelum ini, dengan tumpuan kini beralih kepada "tindakan secara langsung" melalui pelayaran maritim untuk memobilisasi massa antarabangsa.

Selain aspek teknikal, kemuncak usaha Sumud Nusantara kali ini turut melibatkan tindakan undang-undang oleh barisan peguam Malaysia yang akan memfailkan kes di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Kes tersebut berkaitan penculikan peserta misi pada tahun-tahun sebelumnya, sebagai sebahagian daripada strategi serampang dua mata untuk mencabar sekatan haram Israel ke atas Gaza menerusi sokongan lebih 100 buah kapal dari seluruh dunia.