Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah serta penghormatan terakhir buat bekas Menteri Luar Iran Kamal Kharazi yang menyifatkan pemergian tokoh itu sebagai satu kehilangan besar buat dunia diplomasi.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar meluahkan rasa dukacita yang mendalam atas kematian sahabat karibnya itu yang maut akibat kecederaan yang dialami dalam serangan pengganas Zionis.
Beliau menegaskan tragedi ini merupakan peringatan pahit tentang kesan ngeri konflik yang sedang berlaku dan menyeru agar peperangan dihentikan segera.
Kharazi, 81, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada Khamis selepas mengalami kecederaan parah akibat serangan udara Amerika Syarikat-Israel pada 1 April lalu.
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai ketua Majlis Strategik bagi Hubungan Antarabangsa di bawah Kementerian Luar Iran.
Mengimbas kembali kenangan mereka, Anwar menyifatkan Kharazi sebagai seorang intelektual yang tinggi budi pekerti serta sentiasa mesra.
Hubungan persahabatan mereka mula terjalin sejak Kharazi berkhidmat sebagai wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan berterusan sehingga beliau menjawat jawatan Menteri Luar.








