ASIA
2 min membaca
PM Australia ke Malaysia, Brunei bincang isu tenaga dan keterjaminan makanan
Pejabat Perdana Menteri Australia dalam satu kenyataan memaklumkan Albanese akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.
PM Australia ke Malaysia, Brunei bincang isu tenaga dan keterjaminan makanan
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese bakal mengadakan lawatan rasmi ke Brunei dan Malaysia bermula 14 hingga 17 April ini. (FAIL) / Reuters
13 jam yang lepas

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Brunei dan Malaysia bermula 14 hingga 17 April ini.

Lawatan strategik tersebut bertujuan membincangkan isu keselamatan tenaga dan keterjaminan makanan, di tengah-tengah usaha Canberra memperkukuh bekalan bahan api negara itu yang sangat bergantung kepada import.

Pejabat Perdana Menteri Australia dalam satu kenyataan memaklumkan Albanese akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Fokus utama perbincangan adalah bagi memastikan aliran bekalan bahan api dan baja tidak terputus, memandangkan ketegangan di Timur Tengah telah menyebabkan tekanan hebat ke atas harga tenaga global.

Walaupun Australia merupakan antara pengeksport utama gas asli cecair (LNG) dunia, negara itu masih bergantung kepada negara-negara Asia untuk bekalan bahan api bertapis dan baja bagi sektor pertanian.

Malaysia kini merupakan sumber bahan api bertapis ketiga terbesar buat Australia, manakala Australia pula membekalkan 95 peratus keperluan import LNG Malaysia.

"Kami mengambil setiap langkah yang perlu untuk memperkukuh hubungan dengan rakan kongsi utama bagi memastikan bekalan bahan api negara mencukupi," kata Albanese.

Selain bahan api, Brunei dan Malaysia juga merupakan pembekal baja yang signifikan kepada petani-petani di Australia untuk pengeluaran tanaman makanan.

Menurut pihak berkuasa Australia, setakat Sabtu lalu, simpanan petrol negara itu mampu bertahan selama 38 hari, diesel 31 hari, manakala bahan api jet pula selama 28 hari.

Walaupun permintaan dan harga meningkat susulan pembelian panik sejak perang di Timur Tengah tercetus pada 28 Februari lalu, bekalan bahan api nasional dilaporkan masih kekal stabil dengan 57 kapal tangki kini dalam perjalanan ke negara itu.

Dalam pada itu, Menteri Luar Australia Penny Wong menggesa agar gencatan senjata di Timur Tengah diteruskan dan rundingan dikembalikan semula.

Langkah diplomatik itu diambil selepas rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran berakhir tanpa sebarang kesepakatan, sekali gus menambah kebimbangan terhadap kestabilan pasaran tenaga antarabangsa.

SUMBER:AFP