"Terima kasih, Malaysia." Demikian ungkapan penghargaan yang dizahirkan oleh Thiago Avila, ahli Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, terhadap solidariti tidak berbelah bahagi negara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di pentas global, lapor BERNAMA.
Beliau menyifatkan komitmen Malaysia sebagai satu kekuatan "luar biasa" yang menjadi nadi penting kepada gerakan antarabangsa untuk menamatkan genosid di Gaza.
Menurut Avila, penglibatan aktif Malaysia bersama Indonesia dan rantau Nusantara mewakili suara komuniti Muslim global yang amat kuat dalam menentang kekejaman Zionis.
Katanya, kehadiran delegasi dari Asia bukan sekadar penyertaan fizikal, malah membawa dimensi moral yang signifikan dalam misi maritim ini, yang didorong oleh rasa kasih terhadap kebebasan dan kebencian mendalam terhadap pembantaian ke atas kanak-kanak serta kemudahan awam.
Menjelang pelayaran yang dijadualkan berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Avila menegaskan bahawa komuniti antarabangsa perlu bertindak segera.
Beliau memberi amaran bahawa situasi di Gaza kini bukan lagi sekadar krisis kemanusiaan, tetapi telah bertukar menjadi perjuangan global untuk keadilan.
“Masa untuk bertindak adalah sekarang. Gaza tidak lagi mampu menunggu," tegasnya dalam satu pertemuan kurang 24 jam sebelum misi itu bermula.
Beliau turut mengkritik kegagalan usaha gencatan senjata sejak enam bulan lalu yang masih tidak mampu menghentikan pembunuhan rakyat Palestin, sementara bantuan asas terus disekat oleh rejim Israel.
GSF 2.0 tegasnya, bukan sekadar pelayaran kapal di lautan, tetapi adalah respons kepada seruan rakyat Palestin bagi mengingatkan dunia bahawa mereka tidak pernah bersendirian dalam menghadapi penindasan.
Misi kali ini menyaksikan peningkatan luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan kekuatan lebih 80 buah bot dan penyertaan lebih 1,000 aktivis antarabangsa.
Avila menegaskan bahawa jumlah kapal bukanlah perkara paling utama, sebaliknya kesan yang ditinggalkan pada minda dan hati nurani masyarakat dunia untuk bangkit melakukan mobilisasi besar-besaran adalah matlamat sebenar.
Menyentuh mengenai serangan yang meluas di rantau Timur Tengah, beliau menyifatkan tindakan itu berpunca daripada kekebalan undang-undang yang dinikmati rejim penjajah di Gaza.
GSF 2.0, katanya, bertekad untuk mencabar kepungan tersebut menerusi tindakan maritim, advokasi undang-undang, dan kempen akar umbi bagi memastikan penjenayah perang tidak terus menguasai naratif dunia.













