Taktik licik sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menjalankan operasinya di sebalik kemewahan sebuah residensi di Wangsa Maju akhirnya tumpas, selepas diserbu pasukan khas KL Police Strike Force dalam satu operasi pada Khamis.
Serbuan sekitar jam 11 pagi itu berjaya membongkar operasi pusat panggilan haram yang beroperasi di sebuah unit kediaman mewah di tingkat 17, hasil maklumat awam serta risikan mendalam pihak berkuasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mengesahkan serbuan tersebut berjaya menahan sembilan lelaki warga China serta seorang lelaki tempatan yang disyaki bersekongkol dengan sindiket berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut di dalam premis menemui pelbagai peralatan digital termasuk komputer riba dan telefon bimbit di sebuah bilik yang diubah suai menjadi pusat panggilan. Siasatan awal mendapati suspek warga asing berusia lingkungan 30-an ini menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tukaran mata wang asing (Forex Scam) yang menyasarkan mangsa di negara asal mereka, China," katanya.
Siasatan mendapati premis berkenaan bukan sahaja dijadikan pusat operasi sejak awal Mei lalu, malah berfungsi sebagai 'pusat kuarantin' di mana kesemua suspek warga asing dilarang keluar bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu jiran tetangga.
Segala urusan bekalan makanan dan keperluan harian diuruskan sepenuhnya oleh lelaki tempatan yang ditahan, yang menyamar sebagai penghantar makanan harian.
Kes kini diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur bagi mengesan dalang utama, pemilik premis, serta ejen yang menguruskan kemasukan warga asing terbabit.
Pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan untuk menghubungi Hotline Polis KL di talian 03-21159999.














