BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
AHTV berjaya realisasikan pelaburan RM7 bilion
Inisiatif AHTV beri tumpuan terhadap pelaburan berkualiti, pengukuhan rantaian bekalan domestik dan peningkatan keupayaan teknologi pembekal tempatan.
AHTV berjaya realisasikan pelaburan RM7 bilion
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin di Dewan Rakyat. / Foto: Jabatan Penerangan Malaysia

Pembangunan Lembah Teknologi Automatif Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Perak mencatatkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM7 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2026 termasuk daripada Geely.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin ketika memaklumkan sidang Dewan Rakyat berkata, jumlah itu bersamaan 23.3 peratus daripada anggaran keseluruhan RM30 bilion menjelang tahun 2035.

Katanya, angka keseluruhan tersebut merangkumi pelaburan yang telah dilaksanakan, pelaburan semasa serta projek pembangunan yang dirancang pada masa hadapan bertujuan memperkukuh ekosistem industri automotif tempatan secara menyeluruh.

“Inisiatif AHTV melangkaui aktiviti pemasangan kenderaan semata-mata dengan memberi tumpuan kepada tarikan pelaburan berkualiti tinggi, pengukuhan rantaian bekalan domestik, peningkatan keupayaan teknologi pembekal tempatan serta pengurangan kebergantungan kepada komponen import.

“Antara pencapaian utama yang telah direalisasikan sepenuhnya termasuk penaiktarafan kemudahan pembuatan Proton di Tanjung Malim, melibatkan pengembangan kapasiti pengecapan logam, pengecatan, pemasangan komponen utama, serta pengeluaran enjin dan transmisi baharu yang berteknologi tinggi” katanya pada sesi soal lisan menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambahnya, bagi fasa pembangunan seterusnya, kemudahan industri turut merangkumi kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV), pusat logistik, gudang baharu serta makmal ujian penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Mengulas mengenai pasaran pekerjaan pula, Sim memaklumkan kepesatan pembangunan di AHTV telah meningkatkan peluang pekerjaan daripada kira-kira 2,000 pekerja pada 2018 kepada 9,300 individu dan disasarkan mencecah 22,800 pekerja menjelang 2030.

SUMBER:TRT Global