Syarikat China AgiBot Innovation menyatakan komitmen potensi pelaburan bernilai RM1 bilion menjelang 2035 dengan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Anwar bersama pengurusan kanan lima syarikat utama China, iaitu AgiBot, ZTE Corporation, Alibaba Group, Geely Automobile Holdings dan Huawei Technologies, menurut hantaran beliau di Facebook.
Perbincangan tertumpu kepada peluang pelaburan baharu dan kerjasama strategik dalam sektor robotik humanoid, infrastruktur digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi kenderaan elektrik (EV) serta e-dagang.
“ZTE pula menggariskan inisiatif serta pelaburan bernilai RM170 juta bagi memacu transformasi digital Malaysia, sekaligus membina lebih banyak peluang kerjaya berkualiti buat anak-anak tempatan,” kata Anwar.
Bersama Alibaba, perbincangan menyentuh usaha memperluas akses produk Malaysia ke pasaran China dan global menerusi ekosistem digital syarikat itu, khususnya keluaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri halal.
Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh keupayaan bakat tempatan dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran bagi memacu kemakmuran ekonomi negara.























