Kerajaan Malaysia telah mengemukakan pertanyaan kepada Malaysia Airlines dan Batik Air mengenai keupayaan mereka menampung bahagian pasaran domestik AirAsia sebagai sebahagian daripada perancangan senario, sementara pihak berkuasa memantau kedudukan kewangan syarikat penerbangan tambang rendah itu, menurut dua sumber kepada Reuters.
Perbincangan yang melibatkan Kementerian Kewangan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu semakin giat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menurut sumber berkenaan.
AirAsia berdepan tekanan kenaikan kos bahan api pesawat susulan perang AS-Israel ke atas Iran, namun Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas butiran kedudukan kewangan syarikat itu.
Malaysia Airlines dan Batik Air menyatakan kesediaan untuk mengembangkan operasi bagi menampung laluan serta penumpang AirAsia tanpa membeli keseluruhan perniagaannya, menurut sumber.
Salah seorang sumber berkata pengambilalihan operasi secara besar-besaran hanya dapat dilakukan sekiranya turut merangkumi pajakan pesawat AirAsia.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Farouk Kamal berkata syarikat itu tidak mengulas spekulasi operasi atau kewangan mahupun urusan korporat yang belum diumumkan.
“AirAsia kekal memberi tumpuan kepada kesinambungan perniagaan dan kestabilan operasi di semua pasarannya, dan kami terus melihat permintaan asas yang kukuh di seluruh rangkaian kami,” katanya kepada Reuters.
AirAsia merekodkan liabiliti semasa RM18.4 bilion setakat 30 Jun serta kerugian bersih RM831 juta bagi suku kedua.
Syarikat itu sedang menyasarkan pembiayaan sehingga AS$1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa dan RM700 juta dalam kemudahan kredit tempatan, terutamanya untuk menyusun semula hutang, dan menyatakan sasaran itu mencukupi bagi memenuhi keperluannya.
MAHB berkata pihaknya kerap berbincang dengan semua rakan syarikat penerbangan mengenai pembangunan rangkaian dan laluan, namun enggan mengulas prospek kewangan AirAsia.
Kementerian Kewangan, Malaysia Airlines dan Batik Air turut enggan mengulas laporan tersebut.























