ASIA
2 min membaca
9,000 hilang tempat tinggal, 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di Sandakan
Kebakaran yang dilaporkan pada jam 1 pagi itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan menyebabkan 9,000 penduduk hilang tempat tinggal.
9,000 hilang tempat tinggal, 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di Sandakan
Kebakaran yang berlaku pada 1 pagi itu hanya dapat dikawal pada jam 8 pagi. / Foto: AFP melalui Jabatan Bomba Sandakan / AFP
6 jam yang lepas

Satu kebakaran besar berlaku di penempatan atas air Kampung Bahagia, Sandakan, menyebabkan sekurang-kurangnya 9,000 penduduk terjejas dan kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kejadian awal pagi Ahad.

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Kampung Bahagia Sharif Hashim Sharif Titing berkata hampir 90 peratus rumah di perkampungan itu terbakar, iaitu kejadian kali ketiga direkodkan selepas kebakaran pada 1994 dan 2001.

Menurut Sharif Hashim, ini merupakan kebakaran paling besar yang menyebabkan hampir semua penduduk hilang tempat kediaman.

"Syukur tiada berlaku sebarang kemalangan jiwa. Kami berharap ada bantuan daripada pihak berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penduduk di sini," katanya.

Ketua Zon 6 Sandakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Jasri Ab Jal, berkata kebakaran yang berlaku pada 1 pagi itu hanya dapat dikawal pada jam 8 pagi.

Katanya, pihaknya berdepan cabaran disebabkan laluan sempit ke lokasi kejadian serta kenderaan yang menghalang pergerakan jentera penyelamat.

"Struktur rumah dibina rapat antara satu sama lain menyebabkan api merebak dengan cepat. Ia ditambah dengan angin kuat yang mempercepatkan lagi kebakaran merebak," katanya.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi telah diaktifkan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa kebakaran.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Walter Kenson, berkata PPS itu diaktifkan susulan pemeriksaan di kampung tersebut mendapati kediaman yang terjejas tidak selamat untuk didiami buat masa ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata kerajaan persekutuan akan terus menyelaras usaha bersama kerajaan negeri Sabah bagi memastikan keperluan asas, penempatan sementara serta kebajikan mangsa terus diberikan perhatian.

“Keutamaan kita ketika ini adalah keselamatan mangsa dan bantuan segera di lapangan. Saya dimaklumkan jentera UMNO Bahagian Batu Sapi telah turut digerakkan sejak awal pagi bagi membantu mangsa, termasuk urusan pendaftaran di PPS serta penyaluran bantuan awal,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.