Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah kapal yang disyaki menjalankan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran di perairan Johor, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM260 juta.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, sebuah bot tunda dan kapal korek itu ditahan kira-kira 3.20 pagi semalam selepas dikesan berhimpit kira-kira 1.4 batu nautika barat laut Tanjung Buai.
Pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel berdaftar di Malaysia dan membawa muatan minyak yang dipercayai tidak mempunyai dokumen berkaitan pemilikan dan penghantaran.
Bot tunda itu dikendalikan lima kru warga Malaysia dan Indonesia, manakala kapal korek membawa 13 kru, kesemuanya warga tempatan.
“Maklumat daripada orang awam amat membantu Maritim Malaysia dalam mengesan sebarang aktiviti mencurigakan dan salah laku di perairan negara. Hasil tindakan pantas, kedua-dua vesel berjaya ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya.
Menurut Mohd Najib, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana disyaki melakukan aktiviti kapal ke kapal tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia, selain Seksyen 491B(1)(L) kerana bersauh tanpa kebenaran.
Kes turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967 susulan penemuan muatan minyak yang disyaki tidak mempunyai dokumen berkaitan.
Kedua-dua vesel dan muatan minyak berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut.




























