Malaysia akan memperketat penelitian ke atas pemohon pelaburan baharu bagi memastikan operasi mereka mewujudkan pekerjaan dan memberi manfaat sebenar kepada ekonomi negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memaklumkan kepada kerajaan mengenai beberapa syarikat yang hanya menggunakan gudang dan aktiviti transit tanpa menyediakan manfaat dari segi pekerjaan ataupun sumbangan ekonomi.
“Kita telah menghentikan aktiviti tersebut, tetapi kita perlu menyemak semula pemohon baharu,” katanya selepas merasmikan TikTok Shop Summit 2026 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau berkata perkembangan perdagangan digital dan rentas sempadan turut meningkatkan kemasukan produk murah dari luar negara, termasuk melalui platform dalam talian.
“Kadang-kadang mereka menawarkan kos paling rendah, sekarang dia panggil ‘dumping’, supaya dia dapat menguasai pasaran,” katanya.
Anwar turut membangkitkan kebimbangan tentang syarikat yang menggunakan nama perniagaan tempatan walaupun hampir keseluruhan produk mereka sebenarnya diimport.
“Yang jualannya kopi, teh, biskut, semuanya barangan import. Tak ada langsung faedah bagi masyarakat, perniagaan tempatan,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan turut mengesan pelabur besar yang menyewa gudang di Pelabuhan Klang tanpa mengambil pekerja tempatan atau menggunakan produk Malaysia.
“Tak ada langsung keperluan ambil pekerja tempatan ataupun produk tempatan. Jadi, isu ini perlu ditangani,” katanya.
Anwar berkata pihak berkuasa sudah mula mengambil tindakan terhadap beberapa kegiatan berkenaan, sambil menambah kerajaan akan terus meneliti model perniagaan dan pelaburan yang masuk ke Malaysia bagi memastikan ia menyumbang kepada penciptaan pekerjaan, perniagaan tempatan dan pertumbuhan ekonomi negara.

























