Pelan komprehensif bagi memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk Malaysia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Rabu, susulan beberapa insiden yang menimbulkan persepsi mengenai kelemahan dalam sistem kawalan keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelan itu akan dibentangkan bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana beberapa aspek berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Insya-Allah esok saya akan bentangkan secara bersama pelan komprehensif dengan rakan saya, Anthony Loke, kerana ia ada elemen di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Selasa.
Pelan itu disiapkan dalam tempoh dua minggu selepas Kabinet mengarahkan KDN dan MOT menambah baik kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Antara aspek yang diteliti termasuk keperluan infrastruktur, sistem kamera litar tertutup (CCTV), mesin pengimbas, kompetensi sumber manusia serta latihan petugas.
“Kita nak tengok aspek mana yang boleh kita tambah baik, apakah dari sudut keperluan infra, CCTV, mesin imbas atau latihan mengenai orang yang mengawasi mesin imbas. Semua sekali kita akan tengok,” kata Saifuddin Nasution.
Isu keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia.
Mengenai siasatan kes tersebut, Saifuddin berkata pihak berkuasa Indonesia turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mereka telah menemu bual suspek.
“Maklumat yang diperoleh itu membantu kita untuk mengesan adakah ia satu rangkaian sindiket antarabangsa atau tindakan tersendiri,” katanya, sambil menambah siasatan itu turut membantu pihak berkuasa mengenal pasti kemungkinan kelemahan di pintu masuk dan keluar negara.























