Permintaan yang semakin meningkat untuk masakan Jepun dijangka terus memacu eksport produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan negara itu ke Malaysia, menurut Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) seperti dipertik BERNAMA.
Pengarah Urusan Jetro Kuala Lumpur, Koichi Takano berkata Malaysia kini menduduki tangga ke-10 sebagai destinasi eksport produk-produk berkenaan dari Jepun, meningkat daripada kedudukan ke-13 sebelum ini.
“Ini menunjukkan kepentingan Malaysia yang semakin meningkat sebagai pasaran utama Jepun di Asia Tenggara, selain mencerminkan pertumbuhan berterusan permintaan terhadap produk makanan Jepun dalam kalangan pengguna dan perniagaan Malaysia,” katanya semasa Siri Kuliah Masakan Jepun anjuran Jetro baru-baru ini.
Menurut Takano, data Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun menunjukkan eksport produk pertanian, perhutanan, perikanan dan makanan ke Malaysia mencecah 29.1 bilion yen tahun lalu, meningkat 26.3 peratus berbanding 2024.
Kesedaran terhadap washoku, atau masakan tradisional Jepun yang disenaraikan dalam Senarai Perwakilan Intangible Cultural Heritage of Humanity UNESCO pada 2013, turut menyumbang kepada peningkatan permintaan.
Beliau berkata perkembangan e-dagang serta peningkatan perjalanan rakyat Malaysia ke Jepun turut menyediakan platform bagi mempromosikan masakan negara matahari terbit itu.
“Peningkatan jumlah restoran Jepun di seluruh dunia menunjukkan masakan Jepun kini semakin kukuh bertapak di peringkat antarabangsa,” katanya.
Takano berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi pintu masuk bagi pengembangan budaya dan produk makanan Jepun di rantau ASEAN berikutan sifat masyarakatnya yang berbilang kaum dan budaya.
“Malaysia merupakan pasaran berbilang kaum dan budaya yang sudah terbiasa dengan pelbagai tradisi kulinari serta sajian antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, model Malaysia yang menggabungkan pembangunan sumber manusia, inovasi produk, kesiapsiagaan halal dan rangkaian pengedaran cekap boleh menjadi kerangka penting untuk mengembangkan masakan serta produk makanan Jepun di ASEAN dan pasaran majoriti Muslim lain.
“Prospek keseluruhannya kekal positif dan kami menjangkakan lebih banyak syarikat Jepun akan menubuhkan perniagaan serta operasi perkhidmatan makanan dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.




















