Umat Islam perlu menampilkan nilai dan ajaran Islam sebagai contoh yang boleh diteladani semua termasuk penganut agama lain, bukannya melalui pendekatan yang menimbulkan rasa cemas, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata cabaran umat Islam hari ini bukan sekadar mempamerkan ajaran Islam, tetapi membuktikannya melalui tadbir urus, ilmu dan kehidupan seharian.
“Jika yang mentadbir, mentadbir dengan baik; jika profesor, mengajar dengan baik; mahasiswa, belajar dengan tekun... bererti ada usaha penambahbaikan. Mesti ada kesediaan untuk membawa perubahan dan mesej yang jelas,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”.
Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, beliau berkata nilai murni Islam perlu diterapkan dan dihayati serta tidak hanya bersandarkan kepada prinsip kaum.
“Kadang-kadang masalah sekarang, bukan orang tidak mudah mahu menerima Islam tetapi kadang-kadang orang berasa lebih cemas dengan nada Islam kita. Masalah bukan pada orang lain, pada kita juga,” katanya.
Menurut Anwar, umat Islam perlu sentiasa menilai kelemahan sendiri dan berusaha melakukan penambahbaikan supaya mesej Islam dapat disampaikan secara konsisten serta menjadi teladan kepada masyarakat keseluruhannya.
“Sambutan ini hanya bermakna jika ia menyuntik semangat serta kesedaran, dan kita selepas hari ini mampu menjadi umat Islam yang jauh lebih baik serta boleh memberikan contoh terbaik bagi umat manusia,” katanya.




















