Malaysia dan Brunei akan memperkukuh kerjasama dalam pengurusan sempadan, pergerakan rakyat, perdagangan serta industri halal susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Bandar Seri Begawan baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata hubungan erat antara pemimpin kedua-dua negara membuka ruang untuk memperluas kerjasama dalam bidang yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Brunei.
“Perdana Menteri telah menegaskan dalam hubungan dua hala, isu sempadan termasuk mempermudah pergerakan antara kedua-dua negara serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan produk-produk halal perlu dipertingkat,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya pada Rabu.
Menurut Fahmi, perkara berkenaan merupakan antara hasil yang diberi perhatian susulan lawatan Anwar ke Brunei dan mencerminkan usaha kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Anwar selepas dikurniakan Darjah Kerabat Laila Utama oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada 22 Ogos lalu.
“Hubungan erat antara Malaysia dan Brunei perlu terus diterjemahkan melalui kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.



















