Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa agar keupayaan pertahanan Sabah dipertingkatkan susulan perkembangan di selatan Filipina yang melibatkan kehadiran tentera Amerika Syarikat, di mana ketegangan geopolitik antara Washington dan Beijing terus mempengaruhi rantau ini.
Menurut Anwar, Pulau Balabac di selatan Filipina, berhampiran Pulau Banggi di Sabah, telah dibangunkan secara bersama oleh Filipina dan AS sebagai sebuah pangkalan tentera yang besar.
“Sebagai negara jiran yang begitu dekat dengan masalah tuntutan ke atas Sabah, tentunya kita sedikit runsing walaupun hubungan dua hala kita dengan Filipina sangat baik,” katanya semasa Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya pada Selasa, menurut laporan BERNAMA.
Beliau mengakui Malaysia tidak mempunyai kemampuan untuk membangunkan pangkalan tentera dan udara yang setanding dengan kemudahan di Balabac, namun menegaskan tahap pertahanan minimum di Sabah perlu dipertingkatkan.
“Apakah kita ada upaya untuk membangunkan pangkalan tentera dan pangkalan udara sehebat yang dilakukan di Balabac? Saya jawab tidak. Tapi sekurang-kurangnya minimum pertahanan harus ditingkatkan,” katanya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan telah mula meningkatkan peruntukan pertahanan sejak dua hingga tiga tahun lalu bagi menghadapi perubahan persekitaran keselamatan.
Pengukuhan selanjutnya memerlukan peruntukan tambahan yang boleh mencecah ratusan juta hingga berbilion ringgit bagi menyediakan aset dan keupayaan pertahanan mencukupi.
“Rantau ini sekarang bukan lagi rantau biasa. Ia jadi rantau yang berkembang sebagai satu pusat ketegangan antara dua kuasa besar, Amerika Syarikat dan China,” katanya.
Malaysia, bagaimanapun, perlu terus mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua kuasa itu bagi melindungi kepentingan negara.
Anwar berkata perubahan landskap keselamatan serantau, khususnya perkembangan berhampiran Sabah, perlu diberi perhatian dalam perancangan pertahanan negara.
Belanjawan 2027, bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober.























