Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa golongan mahasiswa untuk terus memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan yang membawa kemajuan dan pembaharuan kepada negara.
Beliau menegaskan masa depan Malaysia amat bergantung kepada keberanian generasi muda dalam mendepani cabaran, terutamanya dalam usaha membina sebuah negara yang lebih bersatu padu berlandaskan ilmu dan nilai kematangan pemikiran.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan mahasiswa sebagai sumber kekuatan baharu yang berupaya menyatukan rakyat merentasi batas kaum dan agama.
Anwar menekankan kepentingan golongan ini untuk menolak sebarang bentuk politik perkauman sempit yang dilihat hanya memecah-belahkan masyarakat serta menggugat keharmonian nasional yang telah dibina sekian lama.
Kerajaan MADANI menurut beliau, akan tetap teguh mempertahankan prinsip keadilan sosial bagi menjamin kebajikan seluruh rakyat tanpa ada golongan yang terpinggir.
Konsep Malaysia MADANI yang didukung kerajaan pada masa ini, katanya, memberi penekanan khusus terhadap nilai ihsan dan kesejahteraan yang menyeluruh bagi meruntuhkan tembok perkauman dalam politik tempatan.
"Masa depan Malaysia bergantung kepada keberanian dan kesediaan generasi muda untuk meruntuhkan tembok perkauman dalam politik picisan,” kata Anwar dalam catatan di Facebook.
Perkara tersebut ditekankan beliau semasa menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama mahasiswa India di Universiti Malaya.
Sebagai langkah konkrit bagi memperkasa masyarakat yang terpinggir, beliau mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi tahun ini meningkat kepada RM150 juta, bertujuan khusus untuk membantu golongan miskin dan meningkatkan taraf hidup komuniti India di seluruh negara.
"Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan prinsip keadilan sosial yang menjamin kebelaan dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang,” tambah Anwar.













