Kerajaan bakal membentangkan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 pada persidangan Parlimen akan datang bagi memperluas skop perlindungan buat rakyat Malaysia yang mencari rezeki di luar negara.
Menteri Sumber Manusia R. Ramanan mengesahkan langkah tersebut, yang dimulakan dengan menyasarkan pekerja rentas sempadan di Singapura, telah pun mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Beliau menyifatkan pindaan ini sebagai langkah progresif dalam menjamin kebajikan tenaga kerja tempatan di pentas global.
"Saya dan timbalan menteri akan membawa RUU ini ke parlimen selepas kelulusan Jemaah Menteri dan akta ini akan terus dikuatkuasakan tahun ini sebaik sahaja diluluskan kerana keselamatan dan kesihatan pekerja tidak boleh dibiarkan begitu sahaja," katanya selepas merasmikan Karnival Mega Hari Pekerja 2026.
Tegas Ramanan, pindaan tersebut amat kritikal bagi menangani isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang tidak boleh dipandang remeh.
Menurutnya, inisiatif ini akan melengkapi skim sedia ada di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan memberi perlindungan khusus kepada mereka yang berulang-alik atau menetap di luar negara atas urusan kerja.
"Kita mempunyai lebih 400,000 rakyat Malaysia yang keluar masuk ke Singapura. Bagi mereka, perlindungan keselamatan adalah satu keperluan mendesak. Tahun lalu sahaja, terdapat kira-kira 54 kemalangan maut dicatatkan melibatkan rakyat kita, dan mereka berhak mendapat perlindungan yang sama seperti pekerja lain," tambahnya lagi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa skim tersebut telah diperhalusi bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan, hasil daripada penelitian semula cadangan terdahulu.
Terdahulu pada Jumaat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan tersebut sewaktu sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026.












