Pelaburan berjumlah RM2 bilion dalam inisiatif Sovereign AI Cloud bertujuan memperkukuh keselamatan negara serta melahirkan bakat tempatan agar Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna teknologi global.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan langkah itu penting bagi memastikan kedaulatan data terpelihara di tengah-tengah kerancakan pelaburan digital.
Bercakap dalam sesi 'Temu Anwar' di Universiti UCSI pada Selasa, beliau menjelaskan walaupun Malaysia mengamalkan dasar ekonomi digital yang terbuka dengan menerima gergasi teknologi seperti Google dan Microsoft, aspek privasi dan data sensitif tetap menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
"Perkara berkaitan keselamatan dan privasi peribadi ditadbir di bawah apa yang dikenali sebagai Sovereign Cloud. Ia dikawal ketat dan data tidak dibenarkan keluar dari negara. Sebagai contoh, rahsia ketenteraan atau perisikan terkandung dalam kerangka ini," tegas beliau.
Menjawab kebimbangan mengenai dominasi syarikat besar, Anwar menjelaskan inisiatif itu bukan untuk mengawal semua data, tetapi sebagai benteng perlindungan terhadap akta antarabangsa yang membolehkan pihak luar mengakses data simpanan syarikat asing.
Jelas beliau, inisiatif tersebut akan turut memberi ruang kepada syarikat pemula (startups) tempatan untuk berkembang dalam ekosistem yang selamat.
Mengenai pembangunan bakat, Perdana Menteri berkata beliau mahu institusi pendidikan tinggi bertindak pantas seiring dengan keperluan pelabur besar seperti Infineon Technologies yang menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Sehubungan itu, semua universiti awam kini diarahkan untuk mewujudkan fakulti, jabatan atau unit khusus dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
"Ini adalah untuk memenuhi keperluan kita supaya kita tidak hanya kekal sebagai pengguna, tetapi menjadi pemimpin yang lebih mahir dalam bidang ini," katanya lagi sambil menambah bahawa syarikat antarabangsa seperti Huawei juga diwajibkan menyediakan latihan berstruktur kepada jurutera dan pelajar tempatan.













