Kementerian Kewangan telah mengeluarkan arahan kepada semua kementerian untuk menyemak semula perbelanjaan operasi masing-masing bagi memastikan pengurusan fiskal negara kekal mampan.
Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata langkah ini sejajar dengan pelan rasionalisasi aktiviti dan pelaksanaan program kerajaan di tengah-tengah cabaran bekalan global yang semakin meruncing.
Menurut beliau, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa menegaskan agar semua acara rasmi, bengkel, dan program berskala besar dilaksanakan secara sederhana.
Arahan tersebut tidak hanya terhad kepada kementerian, malah merangkumi agensi, badan berkanun, serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
"Dalam keadaan Malaysia berdepan dengan cabaran akibat krisis bekalan global, panduan telah diberikan dan perincian akan diberikan oleh Ketua-ketua Setiausaha Kementerian bersama dengan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan," katanya dalam sidang media.
Menyentuh mengenai isu bekalan minyak mentah, Fahmi memaklumkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah memberi jaminan bahawa tahap bekalan bagi bulan Mei dan Jun masih berada pada paras memuaskan.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui kerajaan bimbang dengan lonjakan harga global susulan penutupan berterusan Selat Hormuz yang memberi kesan langsung kepada kos produk petroleum seperti RON95 dan diesel.
Sehubungan itu, kerajaan kini sedang memperhalusi mekanisme bantuan subsidi yang lebih bersasar bagi mengurangkan beban rakyat.
Fahmi menambah bahawa inisiatif sedia ada seperti BUDI95 dan BUDI Diesel sedang dikaji semula untuk diselaraskan agar penyampaian bantuan lebih efektif kepada golongan yang benar-benar memerlukan.



















