Kementerian Kewangan (MOF) mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi (OE) berjumlah RM5.45 bilion bagi sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara, lapor Berita Harian.
Cadangan itu merupakan sebahagian daripada strategi penjimatan menyeluruh berjumlah RM10 bilion yang melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan bagi menghadapi tekanan kos subsidi yang dijangka melonjak tahun ini.
Langkah drastik ini diambil susulan krisis di Asia Barat dan sekatan laluan di Selat Hormuz yang menyebabkan gangguan bekalan serta kenaikan harga minyak mentah dunia.
Fenomena luar jangka ini menyebabkan bil subsidi negara unjuran 2026 melonjak kepada RM58.4 bilion, jauh melebihi peruntukan asal sebanyak RM15 bilion yang diluluskan sebelum ini.
"Langkah itu adalah tindak balas kerajaan dalam menangani krisis Asia Barat yang mengakibatkan lonjakan mendadak harga minyak mentah dunia dan memberi impak langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat," menurut garis panduan Perbendaharaan yang dilihat oleh Berita Harian.
Berdasarkan dokumen tersebut, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi menjadi sasaran penjimatan tertinggi, masing-masing dianggarkan sebanyak RM3.06 bilion dan RM2.39 bilion.
Selain itu, MOF turut mencadangkan penangguhan pengambilan penjawat awam baharu, termasuk jawatan tetap dan kontrak MySTEP, kecuali bagi jawatan kritikal dalam bidang keselamatan, pendidikan dan kutipan hasil negara.
Walaupun terdapat pemotongan signifikan, MOF memberi jaminan bahawa penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat tidak akan terganggu.
Semua agensi kerajaan, termasuk badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kini diarahkan untuk mengehadkan penganjuran acara besar serta memaksimumkan langkah penjimatan tenaga di pejabat masing-masing.
"Kementerian Kewangan ingin menekankan bahawa pelarasan perbelanjaan akan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan kestabilan ekonomi," tegas MOF dalam satu kenyataan berasingan bagi mengesahkan pelaksanaan garis panduan tersebut.















