BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Malaysia lulus eksport pertama nadir bumi mentah di bawah peraturan baharu
Kelulusan itu diberikan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan susulan pelaksanaan garis panduan baharu yang membenarkan eksport bahan nadir bumi tanpa diproses secara bersyarat.
Malaysia lulus eksport pertama nadir bumi mentah di bawah peraturan baharu
(FAIL) Foto memaparkan beg-beg yang mengandungi campuran unsur nadir bumi di fasiliti syarikat perlombongan Australia, Lynas, di Gebeng. / AFP

Malaysia meluluskan eksport satu penghantaran nadir bumi yang belum diproses, sekali gus menjadi kelulusan pertama di bawah kerangka baharu yang bertujuan membolehkan ujian dijalankan dan berpotensi menggalakkan pelaburan dalam keupayaan pemprosesan tempatan.

Kementerian Sumber Asli memaklumkan bahawa Jabatan Mineral dan Geosains meluluskan satu permohonan eksport bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), sebagai menjawab pertanyaan Bloomberg. 

Bagaimanapun, kementerian itu tidak mendedahkan identiti pemohon atau memberikan butiran lanjut mengenai penghantaran berkenaan.

Nadir bumi merupakan antara bahan mentah paling strategik di dunia kerana menjadi komponen penting dalam pelbagai teknologi yang menyokong kehidupan moden, termasuk pelbagai aplikasi pertahanan utama. 

China sekian lama mendominasi sektor perlombongan dan pemprosesan nadir bumi, namun negara lain, termasuk Malaysia, kini giat membangunkan keupayaan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Beijing.

Ketika ini, Malaysia menjadi lokasi operasi syarikat Australia, Lynas Rare Earths Ltd, yang merupakan antara hanya dua pengeluar utama nadir bumi di luar China. 

Pada masa sama, beberapa konglomerat tempatan, termasuk Berjaya Corporation Bhd, turut meneroka peluang pembangunan projek dalam sektor berkenaan.

Selain itu, syarikat Perancis, Carester SAS, merancang membina loji pengasingan nadir bumi di Perak dengan kerjasama Malaco Mining Group dari Malaysia.

Beberapa syarikat Amerika Syarikat (AS) juga sedang meneroka peluang perniagaan dalam sektor berkenaan di negara ini.

Awal bulan ini, Malaysia memperkenalkan garis panduan bagi eksport bersyarat nadir bumi mentah, sekali gus melonggarkan moratorium yang berkuat kuasa sejak 2024. 

Di bawah kerangka yang disemak semula itu, penghantaran bahan yang belum diproses boleh dibenarkan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan atau pemprosesan, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

Kementerian itu berkata garis panduan berkenaan terbuka kepada pemohon yang layak, termasuk syarikat asing, dengan syarat mereka mematuhi keperluan kawal selia yang berkaitan. 

Keutamaan kerajaan bukanlah pada jumlah permohonan yang diluluskan, sebaliknya pada kualiti pelaburan, pemindahan teknologi dan penciptaan nilai jangka panjang.

Langkah itu mencerminkan usaha Malaysia untuk membangunkan industri nadir bumi yang lebih berdaya saing dengan menarik pelaburan berkualiti serta memperkukuh keupayaan teknologi tempatan. 

Melalui pendekatan eksport bersyarat, kerajaan berusaha mengimbangi keperluan penyelidikan dan pembangunan industri dengan matlamat mewujudkan nilai tambah yang lebih besar kepada ekonomi negara.