ASEAN komited untuk memperkukuh perdagangan sesama negara anggota dengan sasaran peningkatan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2030, menurut laporan BERNAMA.
Menteri Luar Mohamad Hasan berkata blok serantau itu perlu lebih tersusun dan bersatu bagi mendepani impak konflik global, termasuk gangguan perdagangan dan ekonomi akibat krisis di Timur Tengah.
Menurut beliau, usaha memperkasakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serta memudahkan pergerakan barangan antara negara anggota menjadi agenda utama.
Langkah ini penting bagi memastikan ASEAN mampu menjadi blok ekonomi yang lebih mandiri dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dunia.
"Sekarang ini (perdagangan intra-ASEAN tak sampai 25 peratus. Kita nak capai (perdagangan) antara negara-negara ASEAN sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030," ujar beliau kepada media Malaysia pada Khamis.
Mohamad turut menegaskan kepentingan penyelarasan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan FTA, sambil menambah, jika perdagangan antara negara anggota dapat dilaksanakan tanpa tarif, ia berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi serantau yang lebih pesat.
Mengambil pengajaran daripada konflik global, beliau menyeru setiap negara anggota mencari formula terbaik untuk saling membantu berdasarkan kekuatan masing-masing.
Kerjasama dan persefahaman yang kukuh dilihat sebagai tunjang utama dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa yang semakin kompleks.
“Kita melihat statusnya dan apa yang menghalang. Itu sebabnya kita nak supaya semua MoU dan segala perjanjian-perjanjian ini, (seperti) kebebasan FTA antara negara-negara ASEAN, penghantaran bekalan dan lain-lain diperkemaskan lagi, dan jika boleh, dangangan antara negara-negara ASEAN tidak dikenakan tarif," tambah beliau.
Mengenai Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN, Mohamad menjelaskan ia adalah inisiatif di bawah kepengerusian Malaysia bagi memastikan penyelarasan antara tunggak politik-keselamatan dan ekonomi.
Fokus ASEAN kini bukan lagi sekadar isu keselamatan, malah telah beralih ke arah pengukuhan ekonomi dan kerjasama serantau yang lebih menyeluruh.













