Malaysia sedang melangkah ke fasa baharu ekonomi yang berteraskan teknologi tinggi, semikonduktor, inovasi dan kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan pelaburan dalam sektor-sektor canggih ini merupakan pemacu utama dalam merubah landskap ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.
Anwar menjelaskan peluncuran projek Setia Fontaines Industrial Park di Kepala Batas menjadi satu langkah mustahak dalam agenda ini.
Projek tersebut bukan sahaja menjamin ruang pekerjaan yang berkualiti, malah memperluas peluang latihan kemahiran serta menjelmakan pembangunan di kawasan yang sebelum ini belum menikmati pertumbuhan setara dengan wilayah lain.
"Pembangunan yang bermakna bukan sekadar menjulang angka pelaburan atau mempercepat pertumbuhan, tetapi memastikan hasil kemajuan itu dirasai seluruh lapisan masyarakat. Sebab itulah projek Setia Fontaines Industrial Park di Kepala Batas ini sangat mustahak," kata beliau dalam satu kenyataan di media sosial.
Bagaimanapun, Anwar mengingatkan bahawa di sebalik kepesatan acuan teknologi moden tersebut, modal insan tetap menjadi tunjang utama yang tidak boleh diabaikan.
Kerajaan, katanya, komited untuk melahirkan generasi yang seimbang demi kelangsungan masa depan negara.
"Sebesar atau secanggih mana pun kepesatan teknologi, tumpuan kita tetap pada manusia bagi melahirkan generasi yang tidak hanya memiliki kemahiran dan kepakaran, tetapi juga nilai, ihsan dan tanggungjawab untuk membina masyarakat yang berukun dan berdaya tahan," tambah beliau lagi.
Mengulas lanjut, Anwar memberi jaminan Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap projek pembangunan membawa manfaat yang adil dan saksama kepada rakyat, memelihara kepentingan komuniti setempat serta memperkukuh daya saing negara di peringkat global.
Kemajuan yang sebenar, tambahnya, ialah apabila peluang pekerjaan, kemudahan hidup dan masa depan yang lebih terjamin dapat dinikmati semua.












