Sektor kesihatan Malaysia kini memasuki fasa pertumbuhan tinggi dengan unjuran pertumbuhan industri sekitar 12 peratus menjelang 2030, menurut laporan New Straits Times.
Lonjakan itu dipacu oleh faktor demografi penuaan penduduk, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), perkembangan pesat sektor swasta serta pecutan dalam penerimaan kesihatan digital.
Ketua Kesihatan dan Sains Hayat Asia Pasifik di Frost & Sullivan, Rathanesh Ramasundram, berkata pasaran kesihatan tempatan disokong oleh permintaan struktur yang kukuh.
Sektor ini dijangka berkembang sekali ganda kepada RM158 bilion menjelang 2029, berbanding RM74 bilion yang direkodkan pada tahun 2022.
"Kami melihat daya struktur yang sangat kuat menyokong pertumbuhan ini. Menjelang 2030, sekitar 15 peratus populasi negara akan berusia 60 tahun ke atas, sekali gus meningkatkan permintaan bagi pengurusan penyakit kronik dan penjagaan jangka panjang," kata Rathanesh semasa forum Bursa-HLIB 21st Stratum Focus Series.
Selain pasaran domestik, sektor perubatan swasta turut dirancakkan oleh industri pelancongan perubatan yang mencatatkan ketibaan 1.6 juta pelancong kesihatan pada 2024 dengan sumbangan perolehan RM2.4 bilion.
Walau bagaimanapun, kebanjiran pesakit ke hospital swasta dan kerajaan kini mula menimbulkan tekanan kos dan peningkatan kadar penggunaan fasiliti.
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mendedahkan wujudnya kelemahan struktur dalam integrasi penjagaan primer, di mana pengamal perubatan am (GP) tidak digunakan secara efektif sebagai penyaring utama.
Situasi ini menyebabkan ramai pesakit terus ke hospital untuk rawatan yang sepatutnya boleh dikendalikan di peringkat klinik biasa.
"Inflasi perubatan sering disalahertikan kerana ia bukan berpunca daripada peningkatan kos prosedur semata-mata. Faktor utamanya adalah lebih banyak pesakit yang datang ke hospital akibat penuaan dan penyakit NCD," jelas Setiausaha Kehormat APHM, Anwar Anis, mengenai trend peningkatan kos ekoran isu kesesakan sistem rujukan kesihatan tersebut.







