Lonjakan ketara sebanyak 55 peratus dalam angka penempatan semula pekerjaan melalui platform MyFutureJobs berjaya meredakan kesan trend kehilangan pekerjaan, sekali gus memastikan kadar pengangguran kekal stabil di bawah paras empat peratus.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, penempatan pekerjaan melonjak daripada 12,119 orang pada April kepada 18,756 orang pada Mei, menjadikan jumlah keseluruhan tenaga kerja yang berjaya ditempatkan semula bagi tahun 2026 mencecah 62,644 orang.
"Kadar pengangguran berubah sedikit untuk Mac, iaitu 2.9 peratus, dan April kepada tiga peratus, namun perkara ini masih berada di bawah paras empat peratus, yang kita anggap sebagai penggunaan kadar tenaga guna tenaga penuh," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah mitigasi kerajaan menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam mendepani isu pemberhentian pekerja dan pengecilan operasi perniagaan akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Bagi memperkukuh pasaran buruh, Akmal Nasrullah menjelaskan kerajaan telah menyediakan peruntukan RM710 juta di bawah program Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE) sebagai langkah intervensi melindungi kebajikan pekerja.
Dana itu termasuk agihan RM580 juta kepada PERKESO dan RM100 juta melalui HRD Corp untuk latihan intensif.
Menjawab isu pemberhentian yang dilaporkan tinggi pada awal tahun, beliau menegaskan situasi tersebut sebahagian besarnya bersifat sementara dan bermusim akibat pelarasan semula struktur perniagaan oleh pihak industri, bukannya petunjuk kemerosotan jangka panjang.
"Pemberhentian pekerja berlaku tapi pada masa sama, penting untuk kita menilai pengambilan (pekerja) itu berlaku atau tidak kerana jika pihak industri melakukan pengecilan operasi dan bersifat jangka panjang, maksudnya mereka tidak akan mengambil pekerja lagi. Ketika ini, bila ada berlaku gangguan sekali pun, ianya hanya bersifat sementara," tambahnya.













