Kadar inflasi Malaysia terus menunjukkan trend penurunan secara beransur-ansur bagi tempoh empat tahun berturut-turut, mencerminkan impak positif langkah kestabilan ekonomi negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata Indeks Kos Sara Hidup turut mencatatkan penurunan ketara kepada 1.9 peratus pada 2024, berbanding 3.1 peratus pada tahun sebelumnya.
"Kadar inflasi negara berada dalam trend pergerakan mereda iaitu 1.4 peratus pada 2025, berbanding 1.8 peratus pada 2024, 2.5 peratus bagi 2023 dan 3.3 peratus pada 2022," jelas beliau melalui jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Kenyataan tersebut bagi menjawab pertanyaan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai penanda aras sebenar kejayaan kerajaan dalam menangani kos sara hidup, khususnya ketika mendepani bebanan harga makanan, sewa rumah, dan kos perkhidmatan yang menghimpit golongan M40 dan B40.
Menurut Armizan, purata pendapatan boleh guna isi rumah meningkat kepada RM7,584 pada 2024 berbanding RM7,111 pada 2022.
Peningkatan itu, katanya, membuktikan pendapatan isi rumah berkembang secara tekal sekali gus memperkukuh keupayaan domestik.
Beliau turut menegaskan bahawa indikator kejayaan mengurus kos sara hidup harus dinilai secara holistik kerana harga pasaran sentiasa terdedah kepada faktor luaran seperti geopolitik global, kadar pertukaran mata wang, dan perubahan iklim.
"Selain memastikan pergerakan kos sara hidup dapat dikawal dengan baik, aspek penting yang perlu dilaksanakan adalah memastikan bekalan barangan kekal mencukupi, perkhidmatan dapat diakses secara menyeluruh serta peningkatan pendapatan rakyat," katanya lagi.













