Bekalan diesel yang dijadualkan tiba di Australia dalam masa terdekat bukanlah hasil atau milik Malaysia, sebaliknya ia merupakan komoditi milik syarikat antarabangsa, tegas Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Situasi itu dijelaskan sebagai serupa dengan isu yang pernah melibatkan Filipina sebelum ini.
Diesel berkenaan merupakan milik syarikat global yang membeli bekalan mentah dari negara luar, namun memilih Malaysia sebagai lokasi simpanan atau pusat transit sebelum dijual ke pasaran lain.
"Ini bukan diesel Malaysia, tapi milik syarikat antarabangsa yang membeli diesel mentah dari negara lain, kemudian menyimpan diesel itu di Malaysia," menurut kenyataan itu pada Rabu, bagi memperincikan kekeliruan yang timbul.
Laporan berita antarabangsa menyebut bahawa jualan tersebut melibatkan kontrak antara syarikat Viva Energy dan BP Australia.
Istilah "dari Malaysia" digunakan hanya kerana kapal pengangkut mengambil bekalan tersebut daripada kemudahan storan yang terletak di perairan atau pelabuhan negara ini.
Pihak kerajaan turut menekankan bahawa bahan api tersebut "bukan dari perut bumi Malaysia."
Tegasnya, Kerajaan Malaysia dan PETRONAS tidak terlibat dalam penjualan minyak atau diesel milik negara bagi tujuan tersebut, selaras dengan pendirian yang pernah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Terdahulu, laman berita dalam talian news.com.au melaporkan Australia dijangka menerima tambahan 200 juta liter diesel melalui skim pembiayaan eksport kerajaan persekutuan mereka.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dipetik sebagai berkata bahawa dua kargo akan dihantar dari Korea Selatan, manakala satu kargo masing-masing dari Brunei dan Malaysia.














