ASIA
2 min membaca
Selat Melaka: Tiada keputusan unilateral boleh dibuat, kata Mohamad Hasan
Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand mempunyai persefahaman erat dalam menguruskan laluan perdagangan tersibuk di dunia itu menerusi rondaan bersama bagi menjamin keselamatan maritim.
Selat Melaka: Tiada keputusan unilateral boleh dibuat, kata Mohamad Hasan
"Apa jua perkara yang ingin dilakukan di Selat Melaka mestilah melibatkan kerjasama keempat-empat negara tersebut," kata Mohamad Hasan. (FAIL) / AP

Menteri Luar Mohamad Hasan menegaskan sebarang keputusan melibatkan Selat Melaka tidak boleh dibuat secara bersendirian oleh mana-mana pihak, sebaliknya perlu berpaksikan konsensus antara negara-negara pesisir, menurut laporan BERNAMA.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand mempunyai persefahaman yang sangat erat dalam menguruskan laluan perdagangan tersibuk di dunia itu menerusi rondaan bersama bagi menjamin keselamatan maritim.

"Apa jua perkara yang ingin dilakukan di Selat Melaka mestilah melibatkan kerjasama keempat-empat negara tersebut. Itulah persefahaman kita – ia tidak boleh dilakukan secara unilateral," tegas beliau ketika hadir sebagai panel jemputan di Forum Better Nation ke-10, semalam.

Menurut Mohamad, prinsip konsensus itu merupakan nadi utama ASEAN, di mana setiap ketetapan—termasuk di peringkat sub-jawatankuasa—mestilah dipersetujui bersama.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang dikhuatiri mampu memberi kesan kepada risiko laluan di titik-titik penting maritim global.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia akan terus memperkasakan konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) serta mengutamakan pemusatan ASEAN dalam mengemudi landskap global yang semakin kompleks.

Beliau menekankan Malaysia perlu mengamalkan "neutraliti aktif" bagi mengelak daripada terperangkap dalam percaturan politik kuasa besar.

"Kita adalah sebuah negara dagangan dengan ekonomi terbuka dan kita berdagang dengan semua orang. Kita tidak mampu untuk dilihat condong kepada mana-mana pihak. Jika tidak, ekonomi kita akan terganggu," katanya bagi menggambarkan kepentingan mengekalkan hubungan diplomatik yang seimbang.