DUNIA
2 min membaca
Konflik Asia Barat: Pendirian diplomatik Malaysia diterima baik Iran, AS, kata Zahid
Beliau menjelaskan walaupun pada peringkat awal negara-negara GCC agak bimbang dengan kelantangan Malaysia, mereka kini memahami dan menyifatkan pendekatan negara adalah wajar.
Konflik Asia Barat: Pendirian diplomatik Malaysia diterima baik Iran, AS, kata Zahid
Zahid Hamidi semasa berucap di BN Forum Siri Ke-10: Kesan Konflik US-Iran Ke Atas Malaysia. Foto: FB / Zahid Hamidi / TRT Global

Pendirian diplomatik Malaysia yang seimbang berhubung konflik di Asia Barat dilaporkan mendapat penerimaan positif daripada banyak negara, termasuk pihak yang bertentangan seperti Iran dan Amerika Syarikat, menurut laporan BERNAMA.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata ketegasan Malaysia yang berpaksikan prinsip undang-undang antarabangsa dan keamanan turut dihormati oleh negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

"Pendirian Malaysia menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Israel dan Amerika Syarikat sememangnya bertentangan dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pada masa yang sama melanggar undang-undang serta etika antarabangsa," tegas beliau dalam ucaptama di Forum Better Nation ke-10 semalam.

Beliau menjelaskan walaupun pada peringkat awal negara-negara GCC agak bimbang dengan kelantangan Malaysia, mereka kini memahami dan menyifatkan pendekatan negara adalah wajar.

Malaysia kekal memperkukuh hubungan diplomatik dengan semua pihak terlibat tanpa meminggirkan kepentingan ekonomi dan keselamatan.

Zahid turut mendedahkan keberkesanan hubungan baik dengan Iran apabila tujuh kapal tangki minyak negara yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz mula dilepaskan secara berperingkat.

"Alhamdulillah ia telah dilepaskan, walaupun bukan kesemuanya, tetapi sekurang-kurangnya bekalan minyak telah dihantar ke negara kita," katanya sambil berharap baki kapal akan dilepaskan dalam masa terdekat.

Langkah berani Malaysia untuk kekal tidak memihak namun berprinsip disifatkan sebagai strategi tepat bagi memastikan kepentingan nasional terpelihara.

Menurut beliau, walaupun Malaysia sebuah negara kecil, keupayaan mengimbangi hubungan antarabangsa di tengah-tengah konflik geopolitik yang meruncing adalah satu tindakan yang cukup bermakna.