BISNES & TEKNOLOGI
2 min membaca
Perang Iran tingkatkan daya tarikan Malaysia sebagai hab pusat data
Malaysia dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pusat data susulan perang AS-Iran, sekali gus membuka peluang kepada SD Guthrie Bhd untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap pembangunan infrastruktur digital.
Perang Iran tingkatkan daya tarikan Malaysia sebagai hab pusat data
(FAIL) Malaysia dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pusat data. / Reuters

Malaysia dijangka menerima lebih banyak minat pelabur untuk membangunkan pusat data susulan tercetusnya perang Amerika Syarikat (AS)-Iran, menurut SD Guthrie Bhd, sekali gus membuka peluang kepada gergasi minyak sawit itu dan pemilik tanah terbesar di Malaysia untuk memanfaatkan perkembangan berkenaan.

Sebelum konflik di Asia Barat tercetus, Malaysia sudah pun menarik pelaburan pusat data daripada syarikat antarabangsa termasuk Google milik Alphabet Inc, Amazon.com Inc dan Microsoft Corp, menurut laporan Bloomberg. 

Pada hujung minggu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata Masayoshi Son daripada SoftBank Group Corp memilih beberapa lokasi di Malaysia bagi pelaburan teknologi bernilai AS$50 bilion.

Walaupun perang itu tidak dinyatakan sebagai faktor yang mempengaruhi keputusan pelaburan Son, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad, berkata Malaysia merupakan “negara paling stabil” di Asia Tenggara untuk pembangunan pusat data. 

Syarikat penanaman kelapa sawit terbesar di dunia berdasarkan keluasan tanah itu sebelum ini menyatakan hasrat menggunakan sebahagian tanahnya yang kurang produktif bagi pembangunan perindustrian untuk merebut peluang daripada pertumbuhan sektor pusat data.

Haris berkata Asia Barat sebelum ini menjadi destinasi menarik bagi pelaburan pusat data susulan pilihan sumber tenaganya yang melimpah, namun perang berkenaan meningkatkan risiko di rantau itu. 

Beliau berkata pelabur tidak akan mengambil risiko membangunkan kemudahan bernilai besar di kawasan yang terdedah kepada serangan.

“Jika anda mahu membina pusat data bernilai AS$10 bilion, anda tidak akan meletakkannya di lokasi yang berkemungkinan dibom,” katanya. 

Beliau menambah bahawa Malaysia kini mendapat manfaat daripada gelombang pelaburan yang semakin mengalir masuk ke negara ini.

Sebahagian besar pelaburan pusat data yang memasuki Malaysia diperuntukkan kepada Johor, yang bersempadan dengan Singapura, sebuah negara yang berdepan kekangan keluasan tanah. 

Bagaimanapun, Haris memberi amaran bahawa kekangan bekalan tenaga perlu ditangani bagi membolehkan rantau itu merealisasikan potensi sepenuhnya ketika komitmen pelaburan terus meningkat.