Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Malaysia terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang kukuh selepas mencatatkan nilai eksport berjumlah RM106.7 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun 2026 (1H 2026).
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), prestasi eksport menerusi FIZ melonjak 22.7 peratus sepanjang tempoh lima tahun lalu, iaitu daripada RM153.5 bilion pada 2021 kepada RM188.3 bilion pada 2025.
"Sumbangan zon bebas, terutamanya FIZ, sepanjang lima tahun lalu amat menggalakkan dan ia akan terus bertindak sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan pelaburan, eksport serta penciptaan peluang pekerjaan berkualiti di Malaysia," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
MITI menjelaskan perkara berkenaan bagi menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol berhubung pencapaian zon bebas dalam tempoh lima tahun lalu serta langkah kerajaan untuk meningkatkan aktiviti nilai tambah industri berbanding kebergantungan kepada operasi pemasangan asas semata-mata.
Memberi contoh kejayaan sedia ada, MITI mengetengahkan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas yang memainkan peranan penting dalam membangunkan industri elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, serta peranti perubatan.
Antara Januari hingga Mei 2026 sahaja, eksport Pulau Pinang melonjak 63.1 peratus kepada RM349.35 bilion, merangkumi 44 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara.
Di samping itu, kawasan yang menempatkan zon bebas utama terus mendominasi agihan pelaburan negara.
"Antara Januari hingga Mac 2026, sebanyak RM92.8 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 1,249 projek yang berpotensi mewujudkan 50,226 peluang pekerjaan baharu," tambah MITI, sambil mengesahkan Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kekal sebagai penerima pelaburan tertinggi.




















