Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengadakan perbincangan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di Istana Merdeka, Jakarta pada Isnin, menurut laporan The Nation.
Lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Thailand ke Indonesia dalam tempoh 15 tahun itu menandakan langkah penting bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dan membentuk pakatan strategik antara dua kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menterjemahkan rakan kongsi strategik Thailand–Indonesia kepada tindakan praktikal bagi membuka peluang ekonomi baharu.
Berpandukan potensi besar kedua-dua negara, Jakarta dan Bangkok optimis sasaran perdagangan sebanyak AS$23 bilion dapat dicapai sebelum tahun 2030, di samping memperkasakan daya saing serta peranan ASEAN di peringkat global.
"Thailand sedia menjadi rakan ekonomi yang boleh dipercayai bagi Indonesia dengan meningkatkan perdagangan pertanian untuk menyokong keterjaminan makanan, menggalakkan pelaburan dua hala, serta memperkukuh rantai bekalan rantau ini," kata Anutin.
Sektor industri halal turut menjadi tumpuan utama menerusi gabungan pasaran pengguna Muslim Indonesia yang besar bersama kapasiti pengeluaran dan piawaian halal Thailand.
Selain itu, kedua-dua belah pihak bersetuju meningkatkan kerjasama menangani jenayah rentas sempadan seperti penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah menerusi perkongsian maklumat intipati serta koordinasi agensi penguatkuasaan.
"Kerjasama yang lebih erat antara Thailand dan Indonesia akan menyumbang kepada kekuatan, keselamatan dan kemakmuran jangka panjang ASEAN," tegas Presiden Prabowo Subianto sambil menzahirkan penghargaannya atas bantuan Thailand membawa pulang lebih 1,000 warga Indonesia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.
Bagi mengukuhkan hubungan rakyat dan pelancongan, MoU antara Lembaga Pelancongan Thailand dan TransNusa dimeterai untuk penerbangan terus laluan Bangkok–Jakarta serta Phuket–Bali.
Perbincangan turut menyaksikan pertukaran Pelan Tindakan Rakan Kongsi Strategik dan MoU pendidikan, selain komitmen bersama dalam menyokong kestabilan serantau menerusi Konsensus Lima Perkara ASEAN berhubung isu Myanmar.




















