Kerajaan Norway mengesahkan telah membatalkan lesen eksport berkaitan sistem Peluru Berpandu Serangan Laut (NSM) kepada Malaysia, menurut laporan New Straits Times.
Langkah itu diambil susulan sekatan lebih ketat terhadap teknologi pertahanan sensitif Norway ekoran landskap keselamatan global yang kian berubah.
Kementerian Luar Norway dalam maklum balas kepada New Straits Times berkata pembatalan itu berkait rapat dengan peraturan kawalan eksport yang kini mengehadkan teknologi pertahanan canggih tertentu hanya kepada sekutu dan "rakan kongsi terdekat" mereka sahaja.
"Kementerian Luar (Norway) mengesahkan bahawa lesen tertentu berkaitan eksport teknologi pertahanan spesifik ke Malaysia telah dibatalkan. Ini semata-mata kerana pemakaian peraturan kawalan eksport Norway, dan amat dikesali bahawa perkara ini menjejaskan Malaysia," kata jurucakap kementerian tersebut.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin memberikan penilaian suram mengenai situasi tersebut dengan menyatakan bahawa setakat ini tiada petunjuk positif bahawa kerajaan Norway akan mengubah keputusan mereka.
Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan telah membayar hampir 95 peratus daripada nilai kontrak keseluruhan, iaitu melebihi RM500 juta, kepada pemaju sistem NSM, Kongsberg Defence and Aerospace (KDA).
Khaled memaklumkan sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk bagi menilai tindakan undang-undang terhadap KDA, selain meneroka alternatif bagi menggantikan sistem NSM untuk program Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Beliau juga dijadualkan bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura akhir bulan ini bagi menyatakan kekecewaan Malaysia atas pembatalan mengejut tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bantahan keras Malaysia dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre.
Anwar menyifatkan tindakan unilateral itu sebagai sesuatu yang "tidak boleh diterima" serta memberi amaran bahawa ia akan membawa kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara dan program pemodenan LCS.













