Proses pendigitalan di Malaysia yang kini berkembang pesat boleh meningkatkan risiko negara terdedah kepada ancaman siber, menurut firma keselamatan siber antarabangsa Positive Technologies seperti dipetik laporan New Straits Times.
Firma tersebut menganggarkan Malaysia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan serangan siber di Asia Tenggara, sekali gus meletakkan negara di kedudukan keenam di rantau ini.
Malaysia juga berada di tangga keempat di Asia Tenggara bagi jumlah iklan di forum laman sesawang gelap (dark web), merangkumi 15 peratus daripada jumlah keseluruhan serantau.
Isu ini dikaitkan dengan kadar ketirisan data yang tinggi secara konsisten, di mana maklumat yang dicuri sering dijual semula oleh penjenayah siber di platform haram berkenaan.
"Kami telah mengumpul kepakaran yang besar dan berhasrat untuk berkongsi ilmu tersebut bagi membantu profesional di pelbagai negara berkembang supaya kita dapat memerangi ancaman siber yang semakin meningkat secara bersama," kata Ketua Pegawai Penggodaman Positive Technologies, Dmitry Serebryannikov.
Data daripada firma Surfshark turut menunjukkan Malaysia mencatatkan purata 152 akaun diceroboh bagi setiap 100 orang, angka yang jauh lebih tinggi berbanding purata serantau iaitu 55 akaun.
Statistik ini meletakkan Malaysia di kedudukan ke-31 di peringkat global dari segi jumlah akaun yang terjejas akibat pencerobohan data.
Kerajaan mengakui wujudnya kekurangan tenaga mahir dalam bidang keselamatan siber dan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh pembangunan bakat tempatan.
Langkah ini termasuk menarik pakar antarabangsa bagi memastikan ekosistem keselamatan digital negara kekal teguh menghadapi taktik serangan yang semakin kompleks.
"Misi kami adalah untuk menyatukan pengetahuan dan usaha rakan sejawat bagi meningkatkan piawaian keselamatan global, dan Asia Tenggara kini menjadi titik tumpuan utama dalam usaha ini," tambah Serebryannikov dalam satu kenyataan hari ini.











